Berita SemasaDalam Negeri

2,730 usahawan India terima bantuan TEKUN sepanjang 2024

KUALA LUMPUR – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyediakan pembiayaan berjumlah RM57.97 juta kepada 2,730 usahawan India melalui program pembiayaan khas seperti SPUMI Goes Big dan TEKUN SPUMI sepanjang 2024.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk B. Anbumani, memaklumkan jumlah keseluruhan peruntukan program itu adalah RM60 juta, dengan baki sekitar RM2.1 juta yang masih belum disalurkan.

“TEKUN kini sedang menilai penerima baharu bagi memastikan baki dana dapat digunakan sepenuhnya tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek pembiayaan TEKUN Nasional dan sesi lawatan bersama usahawan India di sini, hari ini.

Beliau hadir mewakili Ramanan.

Menurut Anbumani, kajian lapangan yang dilakukan TEKUN mendapati skim pembiayaan itu memberi impak besar kepada usahawan India, terutama dalam menyediakan modal untuk memperluaskan perniagaan.

“Sesi turun padang seperti ini akan diteruskan bagi memperkukuh sokongan kepada usahawan India, seterusnya membantu mereka menjana pendapatan yang lebih stabil,” tambah beliau.

Anbumani turut mengulas perancangan untuk tahun depan, yang mana TEKUN bakal menerima peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

“Terdapat usaha untuk meningkatkan lagi jumlah peruntukan ini namun semuanya bergantung kepada perbincangan yang akan diadakan oleh Datuk Seri R. Ramanan bersama pihak pengurusan TEKUN,” jelasnya.

Beliau juga menyatakan bahawa 2024 mencatat sejarah baharu apabila peruntukan sebanyak RM60 juta diperuntukkan secara eksklusif kepada komuniti usahawan India.

Dalam pada itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meningkatkan lebih banyak inisiatif untuk komuniti India dilaksanakan pada tahun 2025.

Antara program yang diperkenalkan pada tahun ini ialah Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN), Geran Khas I-BAP untuk perniagaan kecil milik kaum India dan Vanakam MADANI.

Selain itu, TEKUN turut melancarkan Pembiayaan Usahawan India Bank Rakyat (BREIF)-i, Program Latihan Keusahawanan India (EIP) serta Persidangan Koperasi Komuniti India yang diadakan pada Oktober lalu dengan geran sehingga RM30,000 diberikan kepada koperasi masyarakat India.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button