Berita SemasaLuar Negara

[VIDEO] Penumpang ucap syahadah, bertakbir sebelum pesawat Azerbaijan Airlines terhempas

ASTANA – Seorang penumpang pesawat Azerbaijan Airlines merakam detik-detik cemas sebelum pesawat itu terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Aktau, Kazakhstan.

Menerusi rakaman video itu, seorang penumpang lelaki dilihat sedang berdoa, beristighfar dan mengucapkan kalimah syahadah berulang kali, sebelum pesawat Embraer 190 itu terhempas.

Suasana panik juga jelas kelihatan apabila penumpang mula menyedari bahawa sesuatu yang buruk sedang berlaku, sementara topeng oksigen tergantung di setiap tempat duduk.

Memetik beberapa laporan, penumpang lelaki berkenaan merupakan antara mangsa yang terselamat dalam nahas tersebut dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Terdahulu, seramai 29 orang terselamat apabila pesawat Embraer 190 tersebut terbakar selepas terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan.

“Penerbangan itu membawa 62 penumpang dan lima anak kapal, dengan 38 orang maut dalam nahas tersebut,” kata Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Kanat Bozumbayev.

Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev mengisytiharkan hari ini, sebagai hari perkabungan negara dan membatalkan lawatan yang dirancang ke Rusia untuk menghadiri sidang kemuncak tidak rasmi pemimpin Komanwel Negara Merdeka (CIS).

Sementara itu, Pendakwa Raya Kazakhstan yang bertanggungjawab bagi kes pengangkutan, Timur Suleymanov memaklumkan kotak hitam pesawat, yang mengandungi data penerbangan untuk membantu menentukan punca nahas, telah ditemui.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button