
Sembilan jajahan di Kelantan diramal banjir lagi bermula Ahad ini
KOTA BHARU – Sembilan jajahan di negeri ini iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, dan Jeli diramal berdepan banjir selama tiga hari bermula Ahad ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataannya berkata, antara lembangan sungai yang terlibat termasuk Sungai Golok, Sungai Kelantan, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Pengkalan Datu, Sungai Semerak dan Sungai Kemasin.
Bagi Tumpat dan Pasir Mas, banjir dijangka melibatkan lembangan Sungai Golok dan Sungai Kelantan. Di Kota Bharu, kawasan terjejas melibatkan lembangan Sungai Kelantan, Sungai Pengkalan Datu, dan Sungai Semerak.
Pasir Puteh pula dijangka terkesan di lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Semerak, manakala di Bachok, banjir diramal di lembangan Sungai Kemasin dan Sungai Semerak.
Di Tanah Merah dan Jeli, risiko banjir melibatkan lembangan Sungai Golok dan Sungai Kelantan, sementara Kuala Krai dijangka terkesan di lembangan Sungai Kelantan.
JPS menegaskan bahawa banjir mungkin berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh jangkaan, bergantung kepada jumlah hujan yang diterima.
Oleh itu, pihak agensi pengurusan bencana dan penduduk di kawasan berisiko diingatkan supaya berwaspada dan peka terhadap arahan pihak berkuasa.
Pemantauan berterusan akan dilakukan, dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui hebahan rasmi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |