
Penganjur pesta lampu pamer logo China dipanggil beri keterangan
TANGKAK – Pihak penganjur pesta lampu LED di Dewan Serbaguna Bukit Gambir yang memaparkan replika roket dengan bendera China telah dipanggil polis selepas kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, tindakan itu diambil susulan laporan rasa tidak puas hati orang ramai berhubung keberadaan replika itu.
“Laporan berkaitan rasa tidak puas hati berkenaan satu gambar replika roket yang tertera logo bendera China di pesta lampu LED festival di Dewan Serbaguna Bukit Gambir.
“Ia turut disiarkan dalam kumpulan Facebook ‘Community Bukit Gambir Ledang Johor.
“Pengadu telah membaca komen daripada penduduk di kawasan Bukit Gambir yang rasa tidak selesa dengan keberadaan replika roket menampilkan logo bendera China,” katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.
Jelas Roslan, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 505(b)Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Sahrihan Jani dalam kenyataannya menyifatkan bendera negara China pada replika roket berkenaan tidak sensitif dan dibimbangi boleh mencetuskan provokasi dalam masyarakat berbilang kaum.
Ujarnya, laporan polis berhubung insiden itu sudah dibuat Pemuda UMNO Bahagian Ledang pada Rabu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |