Berita SemasaDalam Negeri

JHEV ATM perjelas isu tohmahan, buli siber terhadap Ketua Pengarah

KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandang serius tohmahan dan fitnah dilempar terhadap ketua pengarah dan warga pertubuhan itu baru-baru ini.

JHEV dalam kenyataannya menamakan dua pertubuhan tersebut adalah Persatuan Pembela Pejuang Malaysia (PPPM) dan Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) yang mana kedua-duanya tidak berdaftar di bawah Akta Veteran 2012.

Menurut JHEV ATM, kedua-dua pertubuhan itu hanya berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan, menjadikan mereka tidak sah untuk menangani isu veteran termasuk pelarasan pencen dan formula kiraan pencen sebenar.

Katanya, PPPM yang diketuai oleh Lt. Kdr Rafique Ali Ahmad Nordin (B) didakwa telah menyeru veteran ATM untuk berhimpun tanpa terlebih dahulu mendapatkan penjelasan rasmi daripada Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.

“Melalui perhimpunan itu, mana-mana Veteran ATM yang gagal hadir dianggap bersetuju dengan tiada tuntutan tunggakan pelarasan pencen kepada kerajaan di mana kesannya akan merugikan keluarga veteran tersebut,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, PPPM turut mempersoalkan perbezaan tuntutan pesara hakim dan pesara awam dengan veteran ATM, meskipun isu tersebut berada di luar bidang kuasa JHEV ATM.

Jabatan menjelaskan bahawa perbandingan itu mengelirukan kerana fakta kes berbeza dengan aspek pengiraan pencen veteran bagi tahun 2024.

Dalam semangat keterbukaan dan demi kesejahteraan veteran ATM, Ketua Pengarah JHEV ATM telah menangguhkan komitmen asal untuk bertemu wakil pertubuhan pada 20 Disember 2024.

“Meskipun Akta Veteran 2012 membenarkan Ketua Pengarah untuk menolak pertemuan dengan entiti tidak sah, beliau tetap berusaha menjelaskan formula pengiraan pencen kepada wakil mereka,” jelas kenyataan itu lagi.

Namun, wakil pertubuhan dilaporkan tidak bersetuju dengan penjelasan tersebut dan mendesak jabatan menerima formula kiraan mereka.

Malah, mereka juga meminta pertemuan kedua diadakan pada 23 Disember 2024, tetapi ditolak oleh Ketua Pengarah kerana komitmen lain.

Kegagalan mendapatkan persetujuan itu didakwa telah mendorong pertubuhan berkenaan membuat tohmahan dan kenyataan fitnah, termasuk membina laman Facebook khas untuk menyemarakkan kebencian terhadap Ketua Pengarah dan JHEV ATM.

JHEV ATM menegaskan bahawa pihaknya akan membuat aduan rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Kementerian Komunikasi untuk mengekang tindakan buli siber yang melibatkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kami komited menjaga kebajikan warga jabatan dan nama baik persatuan veteran ATM dengan meneliti tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam isu ini,” tegas kenyataan tersebut.

Sebagai tindakan lanjut, JHEV ATM memaklumkan pihaknya sedang merancang sesi libat urus bersama persatuan veteran yang sah serta menyediakan kalkulator pengiraan pencen Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) di portal rasmi jabatan untuk rujukan.

Veteran ATM yang masih mempunyai kekeliruan digesa menggunakan saluran rasmi untuk membuat aduan atau semakan semula tanpa perlu berhimpun di ibu pejabat JHEV ATM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button