
Hannah Yeoh fail rayuan, nafi dakwaan cuba sebar Kristian
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyatakan rasa kecewanya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman fitnahnya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, pada 23 Disember lalu.
Hannah berkata, pihaknya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan hari ini dan mengarahkan peguamnya untuk memohon agar rayuan itu disegerakan.
“Saya menghormati proses kehakiman, tetapi sudah tentu kecewa dengan keputusan tersebut. Saya juga telah meminta peguam untuk memastikan rayuan ini didengar secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, alasan penghakiman penuh belum dikeluarkan oleh mahkamah dan hanya alasan ringkas dimuat naik menerusi sistem e-ulasan pada tarikh penghakiman diumumkan.
Beliau turut menegaskan, sebarang kesimpulan berhubung keputusan itu masih belum sesuai dibuat.
Hannah menafikan dakwaan yang mendakwa beliau cuba memurtadkan umat Islam atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, seperti yang tersebar dalam mesej WhatsApp dan video tular.
“Tiada asas kepada dakwaan itu. Saya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Terdapat sekatan undang-undang yang jelas terhadap penyebaran agama lain kepada umat Islam di Malaysia dan saya sentiasa mematuhi perkara itu,” ujarnya.
Hannah berkata, sumpah jawatannya sebagai pemimpin adalah untuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan sumpah itu dipegang dengan penuh tanggungjawab.
Pihaknya akan membuat laporan polis terhadap video dan mesej berniat jahat yang didakwa boleh menjejaskan proses rayuannya.
“Saya menyeru semua pihak supaya menghormati proses kehakiman dan tidak menyebarkan mesej atau video berunsur fitnah.
“Jangan biarkan ekstremis agama menggunakan isu ini untuk mencetuskan kekeliruan,” katanya lagi.
Beliau berharap semua pihak akan bersikap matang dan tidak mempolitikkan isu itu demi menjaga keharmonian masyarakat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |