
Tiada kemasukan ‘pintu belakang’ ke universiti awam
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) menafikan dakwaan Dr. Haim Hilman Abdullah mengenai kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) melalui ‘pintu belakang’.
Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, proses kemasukan pelajar di UA adalah telus dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah dan mendakwa ia dibuat dengan niat untuk mengelirukan masyarakat serta menimbulkan kontroversi yang tidak berasas.
“Proses kemasukan pelajar ke UA di negara ini dijalankan dengan penuh ketelusan melalui sistem tapisan yang ketat dan mengikut kriteria yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan hari ini.
JKNCR UA menjelaskan bahawa dakwaan mengenai wujudnya kaedah ‘pintu belakang’ dalam kemasukan pelajar adalah tidak benar.
Sebaliknya, pengambilan pelajar di UA dilakukan secara telus melalui dua saluran, iaitu saluran perdana dan saluran komersial.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa saluran perdana dibuka dengan subsidi kerajaan, memberi keutamaan kepada pelajar daripada keluarga B40, manakala saluran komersial terbuka tanpa subsidi kerajaan, untuk pelajar daripada keluarga T20 dan pelajar antarabangsa.
“Saluran perdana dipenuhi dahulu sebelum pengambilan dibuka semula kepada calon rayuan. Tiada isu pengambilan kuota pelajar miskin untuk tujuan penjanaan pendapatan.
“Semua pelajar, tanpa mengira saluran, mendapat akses kepada kemudahan pengajaran dan penginapan yang sama,” tegas beliau.
Tambah beliau, kutipan yuran dari saluran komersial digunakan untuk membangunkan kemudahan pengajaran, pembelajaran, dan penginapan pelajar di universiti.
Dalam pada itu, Mohd Ekhwan turut menegur Haim yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), kerana sepatutnya lebih memahami sistem kemasukan pelajar yang telah lama wujud.
Saluran komersial, kata beliau, bukanlah untuk merampas tempat pelajar B40, sebaliknya untuk memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga T20 dan pelajar antarabangsa.
Baru-baru ini Haim dalam ceramah yang tular di media sosial, mendakwa bahawa saluran terbuka untuk kemasukan pelajar ke universiti telah menafikan hak anak-anak golongan miskin untuk melanjutkan pengajian.
JKNCR UA berharap agar penjelasan ini dapat menghapuskan kekeliruan yang ditimbulkan dan menegaskan bahawa sistem kemasukan pelajar ke UA adalah adil, telus, dan berasaskan kepada prinsip yang jelas.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
One Comment