
Legasi Ariff Shoes, pakar pembuatan dan baik pulih kasut
MENJADIKAN sebuah rumah dua tingkat sebagai bengkel, dua beradik, Mohd Ariff dan Mohd Rashidi Ibrahim, terus mempertahankan seni pembuatan serta baik pulih kasut kulit yang menjadi legasi keluarga mereka selama lebih dua dekad.
Kedua-dua mereka adalah penggerak utama di sebalik perniagaan ini yang dikenali sebagai Ariff Shoes.
Dengan pengalaman selama 22 tahun, Ariff dam abangnya memulakan langkahnya dalam dunia pembaikan kasut dengan usaha gigih.

Pelanggan luar negara
Perniagaannya kini bukan sahaja dikenali di Melaka tetapi juga menarik pelanggan sejauh dari Singapura melalui rekomen saudara-mara dan pelanggan tetap mereka.
“Saya pernah menerima aduan pada awal perniagaan kerana jahitan kurang kemas, tetapi itu bukan alasan untuk mengalah, sebaliknya menjadi motivasi untuk saya terus memperbaiki mutu kerja.
“Sekarang, kami amat menjaga kualiti agar semua pelanggan puas hati,” kata Ariff ketika ditemui Malaysia Tribune di Lereh, Melaka hari ini.

Mendapat sokongan penuh daripada abangnya, Rashidi, 45, pasangan adik-beradik itu kini menjadi rujukan utama bagi pembaikian kasut di sekitar Melaka.
Perniagaan mereka menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk menukar tapak, menambah tapak, menjahit kasut terbuka dan membaiki kasut berjenama untuk kerja atau sukan.
Cabaran dan kejayaan
Seperti mana-mana perniagaan, Ariff Shoes tidak terlepas daripada cabaran.
“Ada masa pelanggan mahukan kasut mereka siap dengan cepat, terutama waktu perayaan atau buka sekolah.

“Oleh itu, kami perlu mengejar masa dalam menyiapkannya. Tapi kami akan pastikan kerja tetap kemas dan berkualiti, bukan sekadar tangkap muat,” ujar Ariff, bapa kepada dua cahaya mata itu.
Dengan harga jahitan bermula dari RM30 hingga RM40, bergantung kepada kualiti benang dan saiz, pelanggan terus mempercayai hasil kerja mereka.
Kehalusan kemasan menjadi tarikan utama yang memastikan pelanggan akan datang kembali.

Manfaatkan media sosial
Kejayaan Ariff Shoes turut disokong oleh adaptasi mereka terhadap teknologi moden.
Melalui platform Facebook dan TikTok di bawah nama @aripshoes, mereka berkongsi hasil kerja, menarik pelanggan baharu dan terus mengekalkan hubungan dengan pelanggan sedia ada.
Beroperasi setiap hari kecuali Jumaat, Ariff Shoes kini berdiri sebagai salah satu perniagaan keluarga yang membanggakan.
Bagi mereka yang ingin memperbaiki atau memberikan sentuhan baharu pada kasut mereka, Ariff Shoes adalah destinasi pilihan dengan jaminan kualiti dan kepuasan.

Ariff Shoes
No. 7355, Jalan Spring Garden 1, Kampung Lereh, 76400 Melaka.
017-260 9270
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |