
Fahmi ucap takziah pemergian wartawan Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Penolong Pengarang Berita Sinar Harian, Rosli Hassan, 49, meninggal dunia sekitar pukul 6 petang semalam akibat komplikasi jantung.
Berita pemergian Allahyarham turut dikongsi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di laman Facebook beliau malam tadi.
“Seorang lagi rakan media meninggalkan kita hari ini.
“Saya berdukacita menerima perkhabaran saudara Rosli Hassan (Penolong Pengarang Berita Sinar Harian) telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi (semalam)
“Sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh.
“Semoga Allah SWT kurniakan ketabahan dan kesabaran, serta permudahkan urusan keluarga Allahyarham yang tercinta. Al Fatihah,” tulis Fahmi.
Beliau juga mengucapkan takziah buat seluruh warga Sinar Harian atas kehilangan kakitangan mereka itu.
Mula dikesan menghidap masalah jantung kira-kira dua minggu lalu, arwah kemudian telah dirawat di Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sejak 13 Disember.
Allahyarham Rosli merupakan bekas wartawan di akhbar Kosmo! sejak November 2005.
Apabila syarikat Utusan Melayu Malaysia Berhad menawarkan Skim Pemisahan Pekerja (VSS) pada hujung 2018, arwah turut mengambilnya.
Arwah kemudian mula bekerja di akhbar Sinar Harian pada tahun 2021.
Dalam kalangan rakan-rakan, Allahyarham sangat dikenali dengan sifat yang ceria dan suka membantu terutama wartawan junior yang baru terjun ke dunia media.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |