
Dakwaan Musa Hassan terhadap Hannah Yeoh ada asas
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah yang difailkan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung kenyataan yang dibuat dalam forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 30 Januari 2020.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan dua elemen penting dalam tuntutannya. Pertama, mahkamah memutuskan kenyataan Musa tidak secara khusus merujuk kepada Hannah.
Kedua, mahkamah menyatakan Musa tidak bertanggungjawab terhadap penyebaran kenyataan tersebut kerana forum itu dianjurkan oleh UiTM dan beliau tidak mengawal siaran kenyataan berkenaan.
Hannah sebelum itu mendakwa Musa membuat kenyataan fitnah yang mengaitkan dirinya dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian menerusi buku Becoming Hannah.
Musa juga didakwa mengaitkannya dengan golongan evangelis dan Yahudi yang disifatkan boleh mengancam Islam dan negara.
Hakim turut menerima pembelaan Musa bahawa kenyataan itu dibuat dalam konteks forum awam mengenai isu keselamatan negara.
Kenyataan tersebut berdasarkan analisis akademik dan dianggap sebagai komen adil yang dibuat tanpa niat jahat.
Mahkamah turut mengambil kira beberapa kenyataan dalam buku Becoming Hannah yang menyokong pembelaan justifikasi Musa.
Antaranya, Hannah mengaku sebagai “Ambassador of God” yang berhasrat menyebarkan “ajaran Tuhan” melalui peranan politiknya.
Sebagai ahli politik, mahkamah menekankan bahawa Hannah perlu bersedia menerima kritikan berkaitan tugas awamnya.
Mahkamah turut menolak tuntutannya dengan kos sebanyak RM40,000.
Musa dalam kenyataan mengucapkan syukur atas keputusan itu dan berjanji akan terus bersuara mengenai isu-isu berkepentingan negara.
Keputusan itu dilihat menegaskan kepentingan kebebasan bersuara dalam isu berkaitan kepentingan awam, selain mengingatkan tokoh politik untuk menerima pandangan serta kritikan secara terbuka.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |