
Polis Sepang tahan tiga individu dipercayai terlibat kes curi kabel
SEPANG – Polis Sepang berjaya menahan tiga individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di sekitar daerah ini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima laporan kecurian kabel di kawasan kampus Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 8 Disember lalu.
“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota dari Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda berjaya menahan tiga warga tempatan, pada kira-kira pukul 10 malam, Sabtu lepas.
“Mereka semua ditahan ketika sedang melakukan aktiviti memotong kabel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pihak polis turut merampas beberapa jenis kabel, peralatan memotong kabel dan sebuah kereta jenis Perodua Axia.
Tambahnya, semakan mendapati kesemua suspek yang berusia di antara 33 hingga 41 tahun itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.
“Kesemua suspek juga didapati positif dadah ketika ujian saringan air kencing dijalankan,” katanya.
Beliau kemudiannya menambah, ketiga-tiga suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret, di sini pagi tadi.
Kesemua suspek dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman penjara selama sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali,” kata Norhizam lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |