Sukan

Pesilat negara, Thamaraj dan Fauzan dinaikkan pangkat sarjan

SEPANG – Pesilat negara, V Thamaraj yang mencipta sejarah sebagai atlet berbangsa India pertama bergelar juara dunia dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ahad lepas dinaikkan pangkat daripada koperal kepada sarjan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 2 Januari ini.

Setiausaha Persatuan Silat ATM, Mejar Noorsyahiddawati Abdullah Sani berkata, ia sebagai penghargaan buat atlet berusia 28 tahun yang berkhidmat dalam Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) di Sibu, Sarawak.

Beliau berkata, turut diberikan kenaikan pangkat sarjan seorang lagi pesilat yang meraih pingat emas acara silat kreatif tunggal putra Ahmad Fauzan Hadi.

“Dia (Thamaraj) akan dipakaikan pangkat Sarjan bersama Kpl Ahmad Fauzan Hadi. Kita akan meraikan mereka pada 26 Disember ini.

“Ia satu penghargaan besar buat mereka terutama sekali mereka adalah KPTD, jadi mereka layak untuk dipakaikan pangkat,” katanya memetik laporan Bernama.

Terdahulu pasukan negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang di sini hari ini.

Menurut Noorsyahiddawati, beliau teruja melihat pencapaian Thamaraj yang beralih daripada sukan taekwondo kepada seni silat hingga membuahkan hasil  dengan bergelar juara dunia.

Beliau berkata, atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu telah menunjukkan minatnya dalam sukan silat dan pihaknya telah melatih serta menghantar Thamaraj menyertai Kejuaraan Silat Kebangsaan pada 2022.

“Dari situ dia (Thamaraj) ‘laku’ ke skuad negara selain pencapaiannya sepanjang tahun ini,” katanya.

Thamaraj muncul antara pesilat senior yang menyumbang enam pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia, menyaksikan Malaysia turut membawa pulang sembilan perak dan empat gangsa.

Skuad remaja negara turut cemerlang dengan lima emas, empat perak dan empat gangsa.

Pada aksi di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi (ADNEC) itu, Thamaraj menewaskan pesilat Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyobek, untuk membawa pulang pingat emas dan muncul juara dunia.

Sementara itu, Thamaraj ketika ditemui berkata kejayaan menewaskan Khudoyberdiev ibarat membalas dendam kekalahan sebelum ini dan pada masa sama memberikan keyakinan buatnya mencipta pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa khususnya Kejohanan Asia di Uzbekistan tahun depan.

“Saya pernah bertemu beliau (Khudoyberdiev) sebelum ini tetapi kemenangan dibatalkan kerana (pukulan) terkena di leher. Ia seperti pelanggaran berat.

“Kejohanan seterusnya adalah Kejohanan Asia di Uzbekistan. Sasaran saya sudah pasti untuk menang emas selepas pingat perak pada dua edisi lepas,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button