Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Op Pedo: Polis tahan 13 suspek

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 13 lelaki berusia antara 20 hingga 74 tahun dalam satu operasi bersepadu yang dikenali sebagai ‘Op Pedo’ semalam.

Operasi yang dijalankan di enam buah negeri iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu menyasarkan individu yang terlibat dalam jenayah seksual dalam talian melibatkan kanak-kanak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi tersebut dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam serbuan yang dijalankan, pihak polis telah merampas tujuh komputer, sebuah komputer riba, 11 telefon bimbit, serta beberapa modem dan router.

Pemeriksaan terhadap peranti tersebut menemui anggaran 40,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan kandungan pornografi dewasa.

“Kesemua suspek telah ditahan dan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tan Sri Razarudin menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah, khususnya yang melibatkan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk meningkatkan kawalan kendiri dalam penggunaan internet dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PDRM dalam membanteras jenayah seksual dalam talian yang kian meningkat, terutama yang melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa.

Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa menjaga keselamatan anak-anak ketika menggunakan internet dan sentiasa peka terhadap potensi risiko jenayah siber.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button