Berita SemasaDalam Negeri

MiSHA jalin kerjasama dengan KKM perkukuh inisiatif kesihatan paru-paru

PUTRAJAYA – Kesihatan paru-paru memainkan peranan penting dalam kesejahteraan individu khususnya pada sistem pernafasan, namun ramai yang kurang memberi perhatian terhadap penjagaannya dan juga risiko terutama ketika berada di tempat kerja.

Menyedari pendedahan industri seperti bahan kimia, asbestos dan habuk yang boleh merosakkan paru-paru, Malaysian Industrial Safety and Health Association (MiSHA) baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Kunjungan di pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) itu turut disertai pegawai-pegawai kanan kementerian dan ketua-ketua jabatan.

Presiden MiSHA, Aziz Basiran berkata, pertemuan dengan KKM bertujuan untuk menjalinkan kerjasama strategik bagi pelaksanaan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Dalam Sektor Pekerjaan, khususnya dalam sektor berisiko tinggi.

Beliau berkata, kerjasama itu merangkumi langkah-langkah strategik bagi memperjuangkan kesejahteraan pekerja melalui pencegahan, pengumpulan data dan peningkatan kesedaran mengenai kesihatan paru-paru.

“Melalui inisiatif itu, empat fokus utama dikemukakan kepada pihak KKM iaitu pengumpulan data dan penyelidikan; kesedaran kesihatan paru-paru di tempat kerja; pemeriksaan dan penjagaan kesihatan serta pembangunan garis panduan kesihatan paru-paru,” katanya dalam kenyataan.

Sesi pertemuan MiSHA dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan kakitangan KKM di Putrajaya, baru-baru ini.

Aziz berkata, melalui kerjasama itu, pihaknya sedia membantu KKM mengumpul data mengenai kesihatan paru-paru pekerja dalam usaha memperbaiki dasar serta mencipta strategi yang berkesan.

Inisiatif seterusnya adalah memperluaskan kempen kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya pencemaran bahan kimia dan udara.

Selain itu pihaknya mencadangkan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan saringan penyakit seperti asma dan kanser paru-paru dalam kalangan pekerja yang berisiko tinggi.

Akhir sekali adalah untuk melihat garis panduan sedia ada untuk mengurangkan pendedahan pekerja kepada bahan berbahaya di tempat kerja.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, MiSHA turut membentangkan penyampaian anugerah MiSHA National Excellence Awards On OSH Principles of Prevention (OSHPoP) 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 17 Januari 2025 di Royal Chulan Kuala Lumpur.

“Bertemakan “Mencipta Semula Keselamatan di Tempat Kerja”, anugerah itu bakal mengiktiraf 40 syarikat atas kecemerlangan mereka dalam amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.

Jalinan kerjasama itu diharap dapat memastikan setiap pekerja di negara ini dilindungi daripada risiko kecederaan atau penyakit pekerjaan.

Sementara itu, Pengerusi OSHPoP 2024, Abd Mutalib Abd Gapar berkata, pengiktirafan itu diberikan MiSHA untuk mendorong dan menyokong sektor industri melakukan inovasi dalam kesihatan pekerjaan.”

Katanya, inisiatif bersama itu diharapkan akan membawa perubahan positif dalam amalan kesihatan pekerja sekaligus menyumbang sesuatu yang positif dalam sektor pekerjaan di peringkat nasional.

Katanya, antara impak positif yang dilihat dapat dipertingkatkan melalui usaha itu adalah pengurangan penyakit berkaitan paru-paru hasil daripada penerapan budaya keselamatan yang baik dan peningkatan produktiviti kesan daripada persekitaran kerja yang selamat.

“Alhamdulillah YB Menteri telah menyatakan komitmen KKM dalam menyokong usaha ini bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat.

“Kami percaya kolaborasi ini akan menjadi pemangkin kepada budaya kerja yang lebih produktif dan berdaya saing di Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button