
Menteri Pengangkutan arah siasatan terperinci kemalangan di Ayer Keroh
KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran persimpangan tol Ayer Keroh semalam.
Anthony menyatakan rasa dukacita terhadap insiden yang meragut tujuh nyawa itu.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tayar sebuah lori treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran cuba mengelak, lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan insiden itu, beliau telah mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat lori treler serta bas yang terlibat.
“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa.
“Langkah itu penting demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” tambahnya.
Kemalangan tersebut mencetuskan kebimbangan ramai, dengan pelbagai pihak menggesa penguatkuasaan lebih ketat terhadap kenderaan berat bagi mengelakkan tragedi seumpama itu berulang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |