
Lelaki ditahan miliki bahan pornografi kanak-kanak
PETALING JAYA – Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan di kediamannya di sini selepas dipercayai memiliki sejumlah besar bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam satu serbuan Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM.
Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu dilakukan sekitar pukul 9 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pemeriksaan di rumah suspek menemukan pelbagai bahan pornografi kanak-kanak yang disimpan dalam komputer, cakera keras luaran, penghala, telefon bimbit dan cakera padat.
“Suspek yang tinggal bersama kedua ibu bapa, isteri dan dua anak itu bekerja di sebuah kedai perabot milik bapanya. Dia mengaku tidak sedar bahawa perbuatannya memiliki bahan tersebut adalah satu kesalahan,” katanya memetik laporan Buletin TV3
Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, serbuan turut dilakukan secara serentak di beberapa lokasi lain termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Johor bagi membanteras jenayah seumpama itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta melaporkan segera kepada pihak polis bagi membantu siasatan dan melindungi keselamatan kanak-kanak.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |