Berita Semasa

Kemalangan ngeri berpunca daripada tayar lori tercabut

Tujuh disahkan maut

ALOR GAJAH – Kemalangan ngeri yang mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini, malam tadi, berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, siasatan awal mendapati, sebuah treler dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 dan 56 tahun sedang dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tayar hadapan kanan lori berkenaan tercabut sebelum tercampak di tengah-tengah lebuh raya.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah bas terlanggar tayar itu menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Bas terbabit kemudian merempuh sebuah kereta Perodua Bezza, menyebabkan kereta itu terbabas ke lorong kiri lalu melanggar penghadang jalan.

“Kenderaan yang membawa 27 penumpang itu kemudiannya bertembung dengan sebuah lagi treler dan sebuah Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, sebanyak lima kenderaan terlibat termasuk sebuah bas persiaran, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima, lori, treler dan Perodua Bezza.

Ashari berkata, kejadian menyebabkan pemandu bas dan seorang penumpang serta pemandu Toyota Estima bersama empat penumpangnya maut di tempat kejadian.

Ashari berkata, setakat ini lima mangsa yang maut sudah dikenal pasti iaitu pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dari Skudai, Johor; pemandu Toyota Estima, Khairul Ikhwan Mazupi; isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar, dua tahun; dan bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66.

Katanya, identiti seorang penumpang bas dan seorang lagi penumpang Toyota Estima yang maut masih belum dikenal pasti.

Manakala dua lagi anak pasangan itu, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, dan adiknya, Nur Sofea Humaira,4, dilaporkan cedera.

Dua beradik itu masing-masing dirawat di zon merah dan kuning di Hospital Melaka.

Semua kenderaan yang terbabit ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button