Berita Semasa

JPJ diarah siasat segera nahas ngeri di Ayer Keroh

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan supaya segera menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kemalangan yang mengorbankan tujuh nyawa dalam nahas ngeri di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selaran (PLUS) arah utara di Melaka, malam tadi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau turut mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ supaya mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat treler dan bas yang terlibat.

“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anthony memberitahu, siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada tayar sebuah treler yang tercabut.

Ini menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan lain dari arah bertentangan.

“Saya bagi pihak seluruh warga Kementerian Pengangkutan (MOT) merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam tadi, tujuh mangsa dilaporkan terbunuh dalam kemalangan yang melibatkan lima buah kenderaan.

Mangsa yang maut adalah pemandu kereta Toyota Estima, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; bersama penumpang iaitu isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66 dan isteri, Fauziah Jaafar, 69, pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang juga warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button