
Rating kelulusan PM Anwar naik kepada 54 peratus – Merdeka Centre
KUALA LUMPUR – Rating kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat kepada 54 peratus pada tahun kedua pentadbirannya, kata Merdeka Centre, hari ini.
Menurut pusat penyelidikan itu, rating tersebut yang menunjukkan peningkatan sebanyak empat peratus berbanding tahun sebelumnya, menandakan polisi dibawa Anwar diterima baik para responden.
Antaranya, usaha Perdana Menteri menarik pelabur asing ke dalam negara, diikuti dengan usaha beliau memperbaiki imej global Malaysia, meningkatkan perkhidmatan awam, dan menangani isu ekonomi.
“Pada masa yang sama, penilaian kelulusan kerajaan persekutuan meningkat kepada 51 peratus, naik daripada 46 peratus pada November 2023,” kata Merdeka Center dalam satu kenyataan, hari ini.
Tinjauan itu menilai prestasi kerajaan berdasarkan lapan kriteria, termasuk memacu pertumbuhan ekonomi, menangani kenaikan kos sara hidup, mempromosikan integriti, membanteras rasuah, dan memperbaiki hubungan etnik.
Responden menunjukkan kepuasan terhadap usaha kerajaan dalam kebanyakan parameter, dengan penilaian kelulusan meningkat antara dua hingga 12 peratus.
Bagaimanapun, kepuasan terhadap usaha memperbaiki hubungan etnik kekal tidak berubah pada 51 peratus.
Dijalankan antara 27 November hingga 10 Disember, tinjauan ini melibatkan 1,207 pengundi berdaftar.
Responden terdiri daripada 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peratus India, dan enam peratus masing-masing Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam.
Merdeka Center turut memberitahu, kadar ketidakpuasan hati terhadap kerajaan persekutuan adalah pada 47 peratus.
“Jurang tipis antara persepsi positif dan negatif ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh kebimbangan berterusan mengenai tekanan kos sara hidup dan kebimbangan terhadap pemotongan subsidi yang akan datang,” tambahnya.
Tinjauan itu turut mendapati, 53 peratus responden percaya negara sedang menuju ke arah yang salah, meskipun terdapat sedikit peningkatan satu peratus daripada tahun sebelumnya.
Sebab utama pandangan ini adalah cabaran ekonomi, yang disebut oleh 47 peratus responden, diikuti dengan tadbir urus yang lemah sebanyak lapan peratus, dan ketidakstabilan politik sebanyak tujuh peratus.
Sementara itu, peratusan pengundi yang merasakan Malaysia sedang bergerak ke arah yang betul meningkat sederhana kepada 39 peratus, naik daripada 36 peratus pada November tahun lalu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |