
Megawati pecat Jokowi dan keluarga, ketegangan dalam PDI-P memuncak
JAKARTA – Ketegangan antara Pengerusi Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Soekarnoputri dan bekas Presiden Joko Widodo kini mencapai tahap baru apabila sekutu Megawati menuduh beliau cuba memecah belah serta mengambil alih parti.
Situasi itu semakin tegang selepas Megawati minggu lalu secara rasmi memecat Jokowi, anaknya yang juga Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka dan menantunya, Datuk Bandar Medan Bobby Nasution.
Ketiga-tiga mereka didakwa menentang PDI-P secara terbuka semasa Pilihan Raya Presiden Februari lalu.
Pengerusi Ahli Eksekutif PDI-P, Deddy Yevri Sitorus berkata, terdapat usaha Jokowi untuk menguasai parti menjelang Kongres Nasional yang dijadualkan berlangsung April tahun depan.
“Kami tidak menafikan isu itu sudah lama dibangkitkan dan kini muncul semula menjelang kongres.
“Ada usaha untuk menggantikan Setiausaha Agung Hasto Kristiyanto dengan individu yang berpihak kepada Jokowi,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Hasto, yang dikenali sebagai penyokong kuat Megawati, sebelum ini lantang mengkritik Jokowi.
Tuduhan itu timbul selepas terdapat laporan bahawa Jokowi cuba mempengaruhi keputusan pemilihan kepimpinan parti.
Megawati, pemimpin paling lama dalam sejarah PDI-P, dijangka akan mempertahankan jawatannya walaupun sebelum ini memberi bayangan untuk bersara.
Keputusan itu dibuat selepas desakan anggota parti yang mahu beliau terus mengetuai PDI-P.
Bagaimanapun, situasi semakin memanas selepas kain rentang yang menggesa Megawati berundur muncul di beberapa lokasi strategik sekitar Jakarta.
Ada dakwaan bahawa pelanjutan jawatannya hingga tahun depan dibuat tanpa proses pemilihan rasmi, sekali gus dianggap “tidak sah”.
Langkah Megawati pada Julai lalu untuk membawa individu yang lantang mengkritik Jokowi ke barisan pusat parti juga dikatakan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong bekas presiden itu.
Ketua Hal Ehwal Perundangan PDI-P, Ronny Berty Talapessy, menyifatkan penyebaran kain rentang itu sebagai usaha terancang untuk memburukkan imej Megawati.
“Ibu Megawati percaya ini adalah usaha untuk memecahbelahkan parti menjelang kongres nasional,” katanya lagi.
Menurut pemerhati politik dan pensyarah sains politik, Airlangga Pribadi berkata, Jokowi mungkin menggunakan pengaruhnya dalam kerajaan Presiden Prabowo Subianto untuk melemahkan puak dalam PDI-P yang bersikap kritikal terhadapnya.
“Jokowi masih mempunyai pengaruh yang besar dan boleh menawarkan konsesi politik untuk mendapatkan sokongan dalam parti,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Megawati dijangka akan mengumumkan pendirian rasmi PDI-P sama ada akan menyokong kerajaan Prabowo atau terus kekal sebagai pembangkang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |