Berita Semasa

KPDN ingatkan peniaga patuhi Skim Harga Maksimum Perayaan Krismas 2024

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan golongan peniaga supaya tidak melanggar perundangan yang sedang berkuat kuasa terutamanya sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 yang berkuatkuasa mulai hari ini hingga 27 Disember.

Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar berkata, mereka perlu mematuhi harga barangan yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi dan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta boleh dikenakan penalti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, pesalah individu boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.00, manakala bagi syarikat pula, boleh didenda sehingga RM500,000.00 atau dikompaun sehingga RM250,000.00.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, pesalah individu boleh didenda RM10,000.00 atau dikompaun sehingga RM5,000.00; manakala bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM20,000.00 atau dikompaun sehingga RM10,000.00.

Terdahulu, beliau bersama pengurusan tertinggi KPDN mengadakan sesi pemantauan sempena hari pertama pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 di sebuah pasar raya di Bangsar, dekat sini hari ini.

“Turun padang ini diadakan bagi memantau pelaksanaan pematuhan harga barangan yang dikawal di bawah SHMMP Krismas 2024 oleh para peniaga.

“Selain itu, saya turut mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi bekalan dan harga barangan khususnya yang melibatkan sembilan jenis barangan yang dikawal harganya di Semenanjung Malaysia.

“Manakala tambahan 5 jenis barangan lagi dikawal harganya di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, menjadikan jumlah keseluruhan barang yang dikawal adalah sebanyak 14 jenis barangan,” katanya lagi dalam kenyataan tersebut.

Mohd Sayuthi seterusnya turut menyarankan orang ramai supaya sentiasa berhemah ketika berbelanja sepanjang musim perayaan ini.

“Kami juga ingin menyeru orang ramai supaya bersama Kerajaan membanteras sebarang aktiviti manipulasi dalam perdagangan serta pelanggaran undang-undang berkaitan menerusi inisiatif KITA GEMPUR,” katanya lagi.

Orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menghubungi KPDN menerusi Portal e-Aduan KPDN, atau menghubungi Pusat Panggilan KPDN di talian 1-800-886-800, atau menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU, ataupun menyalurkan maklumat menerusi aplikasi Whatsapp di talian 019-848 8000.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button