Bisnes & Ekonomi

Malaysia ungguli Asia Tenggara dalam Indeks Peluang Pusat Data SEA-5 Knight Frank

KUALA LUMPUR – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab digital terkemuka di Asia Tenggara apabila sekali lagi menduduki tempat pertama dalam Indeks Peluang Pusat Data SEA-5 Knight Frank untuk tahun kedua berturut-turut.

Kejayaan itu disokong oleh kadar pengambilan tahunan sebanyak 429 megawatt (MW) dan pelaburan strategik yang signifikan.

Dalam Laporan Penyelidikan Pusat Data 2024, firma perundingan hartanah global Knight Frank menyatakan bahawa pelaburan oleh syarikat teknologi terkemuka seperti Microsoft, Amazon Web Services (AWS), Google dan Oracle telah mencecah nilai US$23.3 bilion (RM105 bilion).

Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia Group, Keith Ooi berkata, usaha strategik Malaysia dalam membangunkan infrastruktur digital adalah langkah penting yang menarik minat pelabur global.

“Komitmen Malaysia terhadap inovasi teknologi dan kemampanan menjadikannya destinasi utama untuk pelaburan pusat data serta model kepada daya tahan ekonomi,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau turut memuji langkah kerajaan yang proaktif seperti Laluan Lorong Hijau dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang mempercepatkan pembekalan tenaga serta menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB).

Malaysia mencatatkan pelaburan digital bernilai RM141.72 bilion dalam tempoh sepuluh bulan pertama 2024, iaitu tiga kali ganda daripada keseluruhan pelaburan pada 2023.

Laporan itu turut menyebut unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus menjelang 2025, infrastruktur yang kukuh, dan dasar kerajaan yang berpandangan jauh sebagai faktor utama keunggulan Malaysia dalam sektor itu.

Laporan itu juga menyoroti Johor sebagai pemain utama yang kini mengatasi Lembah Klang dalam kapasiti teknologi maklumat dan pembangunan pusat data berskala besar.

“Malaysia telah mencapai keseimbangan antara kawal selia, kemajuan teknologi dan pengambilan tanah strategik, menjadikannya peneraju pertumbuhan pusat data mampan di rantau ini,” menurut laporan itu.

Kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan dilihat penting untuk memupuk ekosistem pusat data yang mampan dan inovatif sekali gus memastikan pertumbuhan jangka panjang dalam ekonomi digital negara.

Malaysia terus membuktikan keupayaannya untuk menjadi peneraju global dalam sektor teknologi maklumat, sekali gus menjadikannya destinasi pilihan pelaburan digital di rantau ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button