Luar Negara

Trump janji hapuskan isu transgender dan perangi kartel dadah pada hari pertama pentadbiran

PHOENIX – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi jaminan untuk melaksanakan beberapa tindakan tegas sebaik sahaja memegang tampuk pemerintahan pada 20 Januari depan.

Trump, dalam satu program konservatif di Arizona semalam, menyatakan hasratnya untuk menamatkan isu berkaitan transgender yang menurutnya telah “melampaui batas.”

“Saya akan menandatangani perintah eksekutif untuk menghentikan mutilasi seksual terhadap kanak-kanak, mengeluarkan transgender daripada tentera, serta melarang ideologi mereka daripada memasuki sekolah rendah, menengah, dan tinggi,” katanya lagi.

Beliau berkata, akan mengekalkan dasar yang mengiktiraf hanya dua jantina iaitu lelaki dan perempuan, sambil berjanji untuk memastikan lelaki tidak dibenarkan menyertai sukan wanita.

Dalam ucapannya Trump berikrar untuk melabelkan kartel dadah sebagai organisasi pengganas asing.

“Kartel dadah itu adalah jaringan jenayah yang beroperasi di tanah Amerika.

“Kita akan hancurkan mereka, hantar pulang dan lenyapkan mereka sepenuhnya,” katanya lagi.

Trump turut menjanjikan operasi pengusiran pendatang tanpa izin terbesar dalam sejarah Amerika bagi membanteras jenayah yang menurutnya berkait rapat dengan pendatang.

Selain itu, Trump menyelar pentadbiran Presiden Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris, menyifatkan empat tahun pemerintahan mereka sebagai “zaman kegagalan dan penurunan martabat negara.”

“Pada 20 Januari nanti, kita akan menutup buku empat tahun yang mengerikan dan membuka lembaran baharu untuk era keamanan, kemakmuran, dan kegemilangan negara,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Trump juga berikrar untuk segera menamatkan perang di Ukraine dan mengembalikan kestabilan di Timur Tengah, namun tidak memperincikan pelan tindakannya.

Trump turut mengkritik pengurusan Terusan Panama oleh pihak berkuasa Panama yang dianggapnya tidak adil kepada Amerika Syarikat.

“Yuran penggunaan terusan itu sangat tidak munasabah. Jika perjanjian yang dibuat pada 1970-an tidak dihormati, kita akan menuntut ia dikembalikan kepada Amerika sepenuhnya,” tegas beliau.

Isu transgender kekal menjadi perdebatan utama dalam politik AS.dengan negeri-negeri yang dikuasai Republikan dan Demokrat mengambil pendekatan berbeza.

Baru-baru ini, Kongres AS meluluskan belanjawan pertahanan tahunan yang menghalang pembiayaan rawatan berkaitan penjagaan gender untuk anak-anak anggota tentera.

Langkah dan kenyataan Trump itu dijangka mengukuhkan sokongan daripada penyokong konservatif menjelang penggal kedua pemerintahannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button