
2 nelayan hanyut 3 hari, selamat selepas laungan azan
BAYAN LEPAS – “Kami hampir putus harapan dan hanya berserah kepada Allah. Selepas dua kali melaungkan azan, saya ternampak kapal kargo berhampiran kami,” kata Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, menceritakan detik cemas hanyut di laut bersama rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25.
Kedua-dua nelayan itu diselamatkan nelayan berhampiran sempadan perairan Acheh, Indonesia selepas tiga hari hanyut akibat bot mereka mengalami masalah enjin di perairan Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, pada Selasa lalu.
Menurut Muhammad Ikmal, mereka hanya membawa bekalan biskut dan nasi yang habis pada hari pertama. Akibat kelaparan, mereka terpaksa menangkap ikan mentah seperti kembung dan cencaru untuk dimakan serta meminum air laut bagi mengalas perut.
“Kami sangat lapar. Walaupun muntah beberapa kali selepas makan ikan mentah, kami tiada pilihan lain untuk terus hidup. Sepanjang itu, wajah ibu bapa bermain di fikiran,” katanya ketika ditemui di Jeti Limbungan Batu Maung pada Sabtu.
Muhammad Ikmal berkata bot mereka mula dimasuki air akibat ribut menjelang tengah malam. Mereka berlindung di bawah pukat kerana terlalu takut dan tidak sesekali menanggalkan jaket keselamatan.
“Kami menghubungi tekong di pangkalan untuk meminta bantuan kira-kira pukul 6 petang, namun telefon kehabisan bateri selepas itu,” tambahnya.
Nor Hasrul berkata, itu adalah pengalaman pertamanya hanyut di laut sepanjang hampir dua tahun turun ke laut.
“Saya pernah berdepan ribut, tetapi tidak pernah berhadapan dengan situasi seperti itu.
“Saya mungkin masih akan turun ke laut, tetapi pengalaman ini akan menjadi pengajaran besar buat saya,” katanya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kedua-dua mereka ditemui nelayan tempatan di kawasan sempadan berhampiran Acheh, kira-kira 60 batu nautika dari lokasi kejadian.
Mereka kemudiannya diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan dibawa menaiki kapal KM Burau sebelum tiba di Jeti Limbungan Batu Maung pada pukul 3 pagi Sabtu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Maritim Malaysia, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, pengalaman tersebut wajar dijadikan pengajaran untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.
“Kami bersyukur mereka selamat dan berterima kasih kepada nelayan yang membantu dalam usaha menyelamatkan mereka,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |