
150,000 naskhah al-Quran rosak akibat banjir akan dilupuskan mengikut syarak
PASIR MAS – Kira-kira 150,000 naskhah al-Quran yang ditemukan rosak akibat banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah akan dilupuskan mengikut kaedah syarie.
Menurut Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof, setakat ini 55,000 naskhah sudah dikumpulkan dengan hampir separuh daripadanya di negeri ini khususnya di daerah Tumpat, Pasir Mas dan Bachok yang mempunyai lima pusat pengumpulan.
Jelasnya, inisiatif itu digerakkan menerusi program Jom Exchange al-Quran (JEQ) menerusi kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Mufti Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta pihak berkuasa tempatan.
“Inisiatif ini dimulakan sejak 4 Disember lalu dan dijangka berakhir sehingga selesai Monsun Timur Laut (MTL) dengan kita juga mewujudkan pusat pengumpulan al-Quran di daerah terjejas banjir,” katanya kepada media pada Program JEQ dan solidariti mangsa banjir di Masjid Taman Maka Utama, di sini semalam.
Nik Yusaimi berkata, terdapat beberapa kaedah untuk melupuskan al-Quran mengikut syarak termasuk kaedah pengeringan dengan abunya dibentuk menjadi kiub sebelum dilepaskan di tengah laut.
“Selain itu, terdapat pelupusan menerusi kaedah dinyahdakwatkan membabitkan proses menghilangkan dakwat al-Quran sebelum kertas dihancurkan serta dikitar semula untuk dijadikan kulit naskhah al-Quran dan sebagainya.
“Berdasarkan pemerhatian, program ini mendapat sambutan menggalakkan komuniti setempat yang terjejas banjir kerana mereka menerima naskhah al-Quran baharu diperakui KDN secara percuma bagi menggantikan yang rosak,” katanya.
Beliau kemudiannya memberitahu, pihaknya mendapati masih ada segelintir pihak melupuskan al-Quran menerusi kaedah yang tidak mengikut syarak termasuk mengambil mudah dengan melupuskan kitab itu di tempat kitar semula.
“Kita berharap tindakan ini dihentikan, malah kerjasama semua diperlukan termasuk komuniti dan pengusaha pusat kitar semula supaya menghormati serta memuliakan naskhah al-Quran,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |