Sukan

Lima acara sepak takraw disahkan untuk Sukan SEA 2025

KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) mengesahkan lima acara bagi kategori lelaki dan wanita akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2025 di Thailand, yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember tahun depan.

Dalam kenyataan hari ini, ASTAF memaklumkan acara yang akan dipertandingkan adalah regu berpasukan, regu, kuadran, gelung dan chinlone masing-masing untuk lelaki dan wanita.

Setiap negara dibenarkan menyenaraikan maksimum 21 pemain bagi kategori lelaki dan wanita untuk acara sepak takraw, manakala bagi acara chinlone, minimum enam pemain atau maksimum lapan pemain diperlukan bagi setiap kategori.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, kelayakan dan perincian acara tersebut telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA yang diadakan di Ibu Pejabat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Thailand pada 25 Oktober lalu.

“Kami mengucapkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada NOC Thailand pimpinan Jeneral Prawit Wongsuwan.

“Kami juga menghargai persiapan Majlis Persekutuan Sukan SEA Thailand dan Ibu Pejabat Sukan SEA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Chaiyapak Siriwat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Abdul Halim, acara bagi temasya ini dibahagikan kepada beberapa kategori, iaitu Kumpulan A (Kategori Terbuka) untuk regu berpasukan lelaki dan wanita, manakala Kumpulan B membenarkan setiap negara memilih dua daripada tiga acara iaitu regu, kuadran dan gelung untuk lelaki dan wanita.

“Kumpulan C pula memperkenalkan acara kuadran campuran, sementara Kumpulan D (Kategori Terbuka) dikhaskan untuk acara chinlone bagi lelaki dan wanita.

“Selain itu, setiap negara diwajibkan menamakan dua pengadil yang diluluskan ASTAF untuk bertugas sepanjang temasya tersebut,” katanya lagi.

Sukan SEA 2025 dijangka menjadi platform penting untuk mengangkat martabat sukan tradisional itu di peringkat serantau dan antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button