
Kapal Rusia tersadai di beting pasir Kuala Oya
DALAT – Sebuah kapal milik warga Rusia, Pilgrim, terkandas di beting pasir berhampiran pantai Kuala Oya, Dalat pada 20 Disember 2024 akibat kerosakan alat navigasi dan cuaca buruk.
Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Saga Chunggat berkata, kapal yang membawa empat kru lelaki warga Rusia itu sedang dalam perjalanan dari Filipina menuju ke Kuching selepas singgah di Labuan.
“Kapal itu mengalami kerosakan pada alat navigasi GPS selain berdepan laut bergelora.
“Keadaan itu menyebabkan kapal tersadai kira-kira 50 hingga 100 meter dari pantai,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, insiden berlaku sekitar pukul 6.30 petang ketika hujan lebat, angin kencang, dan ombak kuat.
Maklumat pertama diterima daripada seorang orang awam pada pukul 8 malam yang melihat kapal tersebut dalam keadaan terkandas.
“Pihak kami segera memaklumkan kejadian kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Bintulu, Pusat Penyelamat Maritim Kuching (MRSC) serta pasukan Bomba Mukah. Namun, cuaca buruk menyukarkan usaha bantuan,” katanya lagi.
Pasukan polis diketuai Inspektor Zulhimi Panggis bersama dua anggota dari Balai Polis Oya telah berusaha menjejaki kru kapal tersebut.
Mereka akhirnya berjaya mengesan kru kapal yang berlindung di kawasan pantai pada pukul 10 malam.
Hasil siasatan mendapati semua kru, termasuk kapten kapal, Sinelnik Sergei selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Mereka menggunakan rakit penyelamat untuk menyelamatkan diri ke pantai.
“Kru kapal terdiri daripada empat lelaki warga Russia dengan dokumen perjalanan yang sah. Mereka tidak memerlukan bantuan selain memohon kapal tunda untuk menarik kapal mereka yang masih tersadai,” jelasnya
Kapal Pilgrim yang berdaftar dengan nombor rasmi AA0112RUS10 dijangka tiba di Kuching pada 19 Disember 2024 sebelum insiden itu berlaku.
Setakat ini, usaha sedang dijalankan untuk menguruskan kapal berkenaan.
Pihak berkuasa turut menekankan kepentingan persiapan dan pemantauan cuaca bagi mengelakkan insiden seumpama itu terutama di kawasan perairan pantai yang kompleks seperti Kuala Oya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |