GaleriBerita Semasa

Hayati keindahan warisan Malaysia di Pameran Seni ‘Jiwa Membumi’

MUZIUM dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) mengajak orang ramai menyelami keindahan tradisi dan warisan tanah air melalui pameran seni yang memukau.

Bermula dari 20 Disember 2024 hingga 25 Februari 2025, pameran ‘Jiwa Membumi’ ini mengangkat karya-karya seni yang menggambarkan keharmonian antara alam semula jadi, budaya dan kehidupan desa yang sederhana tetapi penuh bermakna.

Melalui pameran ini, ia meraikan peranan seni fotografi yang menyerlahkan kekayaan identiti budaya Malaysia.

Menggunakan pelbagai medium seperti fotografi, lukisan, arca, video dan instalasi, ‘Jiwa Membumi’ membawa pengunjung menelusuri pesona desa Malaysia yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Dari suasana langit malam yang memukau hingga surau kampung yang damai, setiap karya mengisahkan bagaimana kehidupan tradisi terus mempengaruhi wajah kemodenan Malaysia.

Menurut Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli, pameran ini bukan sekadar meraikan seni tetapi menyeru masyarakat menghargai dan memelihara warisan budaya serta alam sekitar demi masa depan.

Pelbagai karya seni boleh disaksikan sempena pameran ‘Jiwa Membumi’ yang akan berlangsung sehingga 25 Februari 2025.

“Karya-karya ini mengajak kita merenung kepentingan memelihara identiti warisan budaya dan kekayaan alam semula jadi Malaysia demi generasi akan datang.

“Selain itu, ia juga menyerlahkan peranan seniman dalam merakamkan sejarah sosial, ekonomi dan pembangunan negara,” tambah beliau.

Melalui pameran ini, ia mempamerkan koleksi karya seni yang dinamik, bermula dengan fotografi dan berkembang menjadi ekspresi inovatif merentasi pelbagai wadah oleh para seniman.

Menampilkan seniman terkemuka seperti Eric Peris, Soraya Yusof, Azman Karib, Alan Ng, Ariff Awaluddin, Azul Adnan, Chong Kok Choon, Grace Ho, Grez Chan, Nora Yusuf, Supian Ahmad dan Hariz Hamdan, setiap karya adalah refleksi pengembaraan, pengalaman dan pandangan unik mereka.

Para pengunjung boleh menyaksikan koleksi karya seni yang dinamik, bermula dengan fotografi dan berkembang menjadi ekspresi inovatif merentasi pelbagai wadah.

Sebagai tambahan, pameran ini selari dengan komitmen BNM terhadap pembangunan mampan, memperlihatkan keindahan seni sambil menggalakkan kesedaran mengenai kelestarian.

Selain menikmati karya seni, pengunjung juga boleh membeli cenderamata eksklusif yang diinspirasikan oleh pameran ini, menyertai bengkel, sesi bual bicara dan lawatan berpandu untuk mendalami tema pemeliharaan seni budaya dan alam semula jadi.

Jangan lepaskan peluang untuk menghidupkan kembali nostalgia jiwa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, layari museum.bnm.gov.my atau ikuti BNM MAG di Facebook, Instagram, dan X.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button