Luar NegaraBerita Semasa

Albania larang TikTok susulan kes pembunuhan remaja

TIRANA – Albania mengumumkan larangan selama setahun terhadap aplikasi video pendek TikTok berikutan kejadian pembunuhan seorang remaja lelaki bulan lalu yang menimbulkan kebimbangan terhadap pengaruh media sosial terhadap kanak-kanak.

Perdana Menteri Albania, Edi Rama berkata, larangan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan sekolah lebih selamat.

Pengumuman itu dibuat selepas pertemuan beliau dengan kumpulan ibu bapa dan guru dari seluruh negara.

Menurut Rama, negara itu akan menutup sepenuhnya akses kepada TikTok selama setahun.

Langkah itu mengikuti jejak beberapa negara Eropah seperti Perancis, Jerman dan Belgium yang telah mengenakan sekatan terhadap penggunaan media sosial oleh kanak-kanak.

Australia pula melaksanakan larangan penuh media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun pada November lalu, menjadikannya antara peraturan paling ketat di dunia terhadap syarikat teknologi besar.

Rama turut menyalahkan media sosial, terutamanya TikTok kerana menyemarakkan keganasan dalam kalangan belia di dalam dan luar sekolah.

“Keputusan kerajaan Albania itu dibuat selepas seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditikam hingga mati oleh rakan sekelasnya pada November,” katanya.

Media tempatan melaporkan insiden itu berpunca daripada pertelingkahan di media sosial dan video yang memaparkan sokongan kanak-kanak bawah umur terhadap pembunuhan tersebut turut muncul di TikTok.

Sementara itu, TikTok menyatakan pihaknya sedang mendapatkan penjelasan segera daripada kerajaan Albania.

Jurucakap syarikat itu memaklumkan bahawa tiada bukti menunjukkan pelaku atau mangsa memiliki akaun TikTok, malah video berkaitan insiden itu sebenarnya dimuat naik di platform lain.

Langkah tegas Albania itu menggambarkan keprihatinan global yang semakin meningkat terhadap kesan negatif media sosial terhadap generasi muda dengan lebih banyak negara mempertimbangkan peraturan ketat untuk melindungi kanak-kanak daripada pengaruh buruk dalam talian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button