Berita Semasa

Tok Mat sudah bayar kompaun

SEREMBAN – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan sudah melangsaikan bayaran kompaun yang dikeluarkan ke atas dirinya kerana dirakam merokok di tempat larangan, baru-baru ini

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, beliau menjelaskan kompaun yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Seremban (PKDS) itu sehari selepas menerima notis berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah kompaun yang dibayar tetapi menyatakan urusan berkenaan telah selesai.

“Saya sudah bayar kompaun… Alhamdulillah, tiada apa lagi yang berbangkit.

“Syukurlah kompaun yang dikenakan itu tidak terlalu tinggi dan semuanya telah selesai,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pertandingan E-Sport Piala Tok Mat 2024, di Kip Mall Lavender Height Senawang, di sini hari ini.

Sebelum ini, tular gambar Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat sedang memegang sebatang rokok ketika duduk bersama sekumpulan lelaki di premis awam dipercayai sebuah restoran.

Perbuatan itu jelas melanggar Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Peraturan 11 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 menyatakan bahawa sesiapa yang didapati bersalah merokok di kawasan larangan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Kelmarin, Mohamad tampil mengakui kesilapannya merokok di tempat larangan dan menyatakan akan membayar kompaun yang akan dikenakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, turut menegaskan bahawa tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang, dan pejabat Menteri Luar telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button