Berita Semasa

Petronas ‘hak milik negara’, bukan syarikat Semenanjung – PM Anwar

SUBANG JAYA – Petronas adalah ‘hak milik negara’ seperi digariskan dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974, dan bukannya syarikat Semenanjung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menegaskan perkara itu berkata, akta tersebut menjelaskan Petronas masih diiktiraf sebagai syarikat minyak negara yang mempunyai kuasa penuh mengawal selia seluruh pembangunan industri minyak dan gas dalam negara ini, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tegas Anwar, tiada kompromi berhubung perkara itu di sebalik kebimbangan terhadap permintaan Sarawak ke atas hak milik minyak di wilayah tersebut.

“Tetapi hubungan saya dengan Premier Abang Johari (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) sangat baik. Akhirnya, kami mahukan penyelesaian yang harmoni untuk isu ini.

“Akhirnya Akta Pembangunan Petronas (PDA) adalah akta nasional dan Petronas adalah sebuah syarikat nasional, bukan syarikat Semenanjung. Saya ingin menjelaskan perkara ini kepada anda dengan sangat jelas. Tiada kompromi dalam hal ini.

“Tidak kira apa pun tuntutannya. Jika anda terima itu, maka, negara atau negeri kini yang mahu memastikan bahawa mereka menegaskan kedudukan mereka untuk melindungi kepentingan, terutamanya Sabah dan Sarawak, kerana kami juga terikat dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963),” katanya katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut mengenai keputusan kerajaan negeri Sarawak bahawa Syarikat Petroleum Sarawak Bhd (Petro) akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di negeri itu bermula 1 Julai lalu.

Namun, Petronas selaku syarikat yang mengawal selia industri minyak dan gas dalam negara, meminta penangguhan pelaksanaan pengambilalihan itu kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.

Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada Petronas untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan Petros.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Petros perlu bekerjasama dengan Petronas untuk aktiviti baharu gas dan minyak.

“Saya rasa ini adalah langkah wajar. Mereka telah menetapkan parameter dalam hal ini. Mereka iktiraf peranan Petronas dan kita iktiraf peranan Sarawak. Saya fikir kita perlu bekerjasama,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button