
Isu gangguan seksual di UM sedang ditangani secara rasmi – KPT
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, isu gangguan seksual di Universiti Malaya (UM) seperti yang tular di media sosial ditangani secara rasmi sejak tarikh aduan diterima.
Tambah KPT lagi dalam satu kenyataan hari ini, siasatan secara dalaman turut dilakukan Unit Integriti UM.
“Berkenaan dengan laporan kes gangguan seksual yang didakwa melibatkan seorang profesor di UM, pihak universiti tidak pernah mengambil ringan laporan sebegini.
“KPT dimaklumkan, isu ini telah ditangani secara rasmi sejak tarikh aduan diterima, dan Unit Integriti UM sedang menjalankan siasatan secara aktif,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Kenyataan tersebut turut memberitahu, individu yang dikaitkan dalam kes berkenaan, difahamkan, telah turut membuat laporan polis, dan siasatan kini sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang berprestij, UM mempunyai mempunyai garis panduan dan peraturan khusus berhubung isu gangguan seksual, dan langkah-langkah yang sewajarnya sedang diambil untuk melindungi hak semua pihak,” kata KPT lagi.
KPT seterusnya berkata, pihaknya sentiasa memandang serius sebarang isu yang melibatkan mana-mana salah laku dan pelanggaran tatacara dalam kalangan warga institusi pendidikan tinggi (IPT), dan menyeru semua pihak supaya memberikan ruang untuk siasatan menyeluruh dilaksanakan.
“KPT dan pihak UM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti bersalah melakukan pelanggaran undang-undang dan tindakan tatatertib yang tegas akan diambil.
“KPT (ingin turut) menegaskan, bahawa sebarang tindakan yang diambil mestilah selaras dengan undang-undang sedia ada, kerana langkah yang melanggar tatacara perundangan akan mencabuli proses siasatan yang sedang berlangsung,” kata kenyataan itu lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |