
Insiden rempuhan pasar Krismas, polis Jerman tahan suspek warga Arab Saudi
MAGDEBURG – Sekurang-kurangnya dua terbunuh manakala lebih 60 lagi cedera dalam insiden rempuhan kereta di sebuah pasar Krismas di Jerman, semalam.
Susulan kejadian, pihak berkuasa Jerman telah menahan seorang lelaki warga Arab Saudi dipercayai suspek utama kejadian itu.
Laporan AFP yang memetik kenyataan Gabernor wilayah, Reiner Haseloff sebagai berkata, suspek merupakan seorang doktor perubatan berusia 50 tahun dari Arab Saudi yang tinggal di wilayah timur Saxony-Anhalt.
“Kami sudah menahan pelakunya, seorang lelaki dari Arab Saudi, seorang doktor yang berada di Jerman sejak 2006.
“Daripada apa yang kami tahu pada masa ini dia adalah penyerang tunggal. Jadi, kami tidak fikir ada bahaya lagi.
“Lelaki Arab Saudi itu dipercayai memandu kereta yang disewa dengan plat lesen Munich ke pasar Krismas,” katanya kepada pemberita sambil menggelar serangan itu sebagai ‘malapetaka’ bagi bandar dan negara itu.
Siasatan mendapati, kenderaan dipandu suspek merempuh dan mengheret mangsa sekurang-kurangnya 400 meter merentasi pasar Krismas hingga meninggalkan jejak darah mangsa berlumuran di dataran dewan bandar pusat bandar itu.
Ambulans dan jentera bomba bergegas ke lokasi berkenaan dan mangsa yang cedera parah dirawat ketika mereka berbaring di atas tanah atau dikejarkan ke hospital.
Akhbar mingguan, Der Spiegel, yang memetik sumber keselamatan, berkata sebuah BMW hitam merempuh orang ramai pada kelajuan tinggi pada jam 7 malam (waktu tempatan) ketika pasar itu dipenuhi dengan orang ramai.
Sementara itu, akhbar Die Welt melaporkan bahawa sebuah bagasi ditemui di tempat duduk penumpang tetapi tidak jelas jika terdapat bahan letupan di dalamnya dan pihak berkuasa masih menyiasat motif serangan berkenaan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |