AgamaBerita Semasa

AI: Di manakah sempadan antara inovasi dan sensitiviti?

DUNIA hiburan tanah air sekali lagi mencuri perhatian apabila penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin tampil dengan idea luar biasa menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk ‘menghidupkan’ semula memori arwah suaminya, Johan Nawawi.

Tindakan itu dilakukan beliau ketika mengadakan sebuah konsert bertajuk Hanya Satu baru-baru ini.

Teknik tersebut menyaksikan gambar arwah Johan digerakkan dan ‘menyanyi’ bersama Nora, seolah-olah menghadirkan kembali sosok yang amat dirindui wanita itu.

Namun, langkah ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Ada yang melihatnya sebagai terjemahan kreatif kepada seni dan cinta sejati, manakala ada yang mempersoalkan sensitiviti serta kesesuaian kaedah itu dari segi nilai agama dan budaya.

Konsert Hanya Satu dianjurkan sebagai menghargai kerjaya Nora dalam bidang seni selama tiga dekad.

Apakah impak teknologi AI terhadap emosi, moral dan nostalgia kita?

Adakah ia akan membuka pintu kepada inovasi baharu atau menimbulkan polemik dalam masyarakat terutamanya yang beragama Islam.

Menurut pandangan Mufti Wilayah Persekutuan melalui laman web beliau, hukum menghasilkan imej orang yang telah meninggal dunia menggunakan teknologi AI adalah sama seperti hukum melukis gambar.

“Secara umumnya, melukis gambar makhluk bernyawa tanpa tujuan yang dibenarkan syarak adalah haram menurut majoriti ulama.

“Namun, jika ia dilakukan untuk tujuan kemaslahatan seperti pendidikan atau dakwah, ia dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu,” menurut laman web tersebut.

Bagi kes menggunakan AI untuk menggerakkan gambar arwah suami Nora dalam sebuah konsert, beberapa pertimbangan perlu diambil kira.

Pertama, tujuan penghasilan imej. Jika imej tersebut dihasilkan untuk tujuan hiburan semata-mata tanpa ada maslahat yang jelas, ia boleh dianggap tidak memenuhi syarat yang dibenarkan.

Kedua, kesempurnaan imej. Ia bermaksud imej yang dihasilkan tidak seharusnya menggambarkan keseluruhan anggota tubuh secara sempurna, kerana ini menyerupai ciptaan Allah yang dilarang.

Ketiga, pergerakan imej. Apabila keadaan itu menjadikan imej si mati bergerak-gerak, ia boleh menimbulkan isu sensitiviti dan mungkin dianggap tidak menghormati maruah si mati.

Dan keempat dalam aspek pematuhan syariah. Penganjur perlu memastikan imej tersebut tidak mempamerkan aurat atau perkara yang bercanggah dengan syarak.

Perkahwinan antara Nora dan Johan (gambar kiri) bertahan selama 25 tahun sebelum arwah meninggal dunia pada 2017.

Isu berkenaan turut ditegur secara terbuka oleh pendakwah bebas, PU Syed melalui video yang dimuat naik beliau di laman Instagram.

“Menghidupkan gambar dengan tujuan berduet untuk menyanyi boleh mendatangkan keaiban kepada Nora dan arwah suaminya,” ujar beliau.

Malah tambah beliau sebagai isteri kepada orang lain, Nora seharusnya perlu menjaga hati suami barunya agar tidak tersinggung dengan tindakan sedemikian.

Nora mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Johan yang merupakan seorang komposer terkenal di Malaysia pada tahun 1992. Rumah tangga mereka bertahan selama 25 tahun sebelum Johan meninggal dunia pada 2017. Kemudian pada 2021, Nora berkahwin semula dengan seorang pensyarah Universiti Malaysia, Dr. Rushdi Ramli.

Dalam pada itu, Nora telah menerima teguran tersebut dengan berlapang dada dan menyatakan akan lebih berhati-hati di masa akan datang.

Apa yang pasti, umat Islam seharusnya untuk merujuk kepada pihak berautoriti agama bagi mendapatkan pandangan yang lebih terperinci sebelum sesuatu tindakan dilakukan demi menjaga kehormatan agama yang mulia ini.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button