
Sumbang mahram, penoreh getah dipenjara 15 tahun
SEREMBAN – Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya yang berusia 11 tahun.
Tertuduh yang berusia 52 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 31 Januari 2020, selain tertuduh dikenakan lima kali sebatan.
Dalam penghakimannya, Surita berkata, mahkamah mengambil kira rayuan tertuduh, fakta keterangan kes, dan faktor pemberatan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
“Tertuduh juga diarahkan menjalani pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman penjara dan mengikuti kaunseling pemulihan selama dua tahun dalam tempoh hukuman berjalan,” katanya memetik Buletin TV3.
Peguam bela tertuduh, Muhamad Hafiz Leman, dalam rayuannya memohon hukuman minimum dikenakan dengan mengambil kira usia tertuduh.
“Tertuduh berhasrat untuk membina kehidupan baharu selepas dibebaskan dan menjaga ibunya yang uzur,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon hukuman berat diberikan dengan alasan tertuduh sebagai seorang bapa sepatutnya melindungi anaknya tetapi sebaliknya bertindak mengambil kesempatan.
“Kesalahan ini amat berat dan tertuduh tidak layak menerima peringanan hukuman walaupun mengaku bersalah. Hukuman setimpal perlu dikenakan sebagai pengajaran,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya di sebuah bilik di rumah mereka di Gemencheh, Tampin, antara Jun hingga Disember 2019, antara pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |