
Kes miliki ganja: Mahkamah tolak permohonan ikat jamin Along Cham
SEPANG – Pelawak dan pelakon Along Cham, atau nama sebenar Muhammad Nizamuddin Ahmad, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret atas tuduhan memiliki dadah jenis ganja melebihi 60 gram (g) minggu lalu.
Muhammad Nizamuddin, 41, membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Amir Affendy Hamzah dan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen, tertuduh merayu agar dibenarkan permohonan ikat jamin, atas alasan dia mempunyai anak yang masih bersekolah, selain berjanji akan memberi kerjasama penuh.
Walau bagaimanapun, permohonan itu ditolak Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Affendy Hamzah, yang menjelaskan kesalahan terbabit tidak boleh dijamin di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
“Saya merayu jaminan kerana ada anak mula bersekolah, saya merayu saya ada anak, saya janji, sumpah akan beri kerjasama,” katanya atas kesalahan memiliki ganja dengan anggaran berat 58.23 di Laman Lakeview, Cyberjaya, pada pukul 3.10 petang, 14 Disember lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin kemudian tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Along turut didakwa memiliki 2.07 gram kanabis pada tarikh dan lokasi yang sama.
Dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ini, yang dibuat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua dan menetapkan 28 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Turut hadir di mahkamah ialah isteri Along, Afreena Suhaimi, 32, yang menyatakan sokongan terhadap suaminya.
Sabtu lalu, polis menjalankan serbuan di kediaman artis terbabit yang membawa kepada penemuan dua peket plastik berisi daun kering disyaki ganja, dengan
selebriti itu turut disahkan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |