
JKN Perak nafi pegawai di Hospital Seri Manjung tanggung lebih beban
IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menafikan dakwaan berlakunya bebanan tugas berlebihan dalam kalangan pegawai perubatan di Hospital Seri Manjung seperti yang dilaporkan sebuah laman sesawang pada 12 Disember lalu.
Pengarah JKN Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, laporan terkini menunjukkan seramai 30 pegawai perubatan bertugas di Jabatan Perubatan hospital berkenaan, meliputi empat wad dengan purata tujuh pegawai perubatan bagi setiap wad.
“Kadar penggunaan katil (BOR) di jabatan ini mencatatkan antara 90 hingga 120 peratus daripada jumlah keseluruhan 305 katil pada tahun semasa.
“Dengan kadar itu, setiap wad menempatkan 25 hingga 33 pesakit dan secara purata seorang pegawai perubatan merawat tiga hingga empat pesakit pada satu masa,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kekerapan tugas atas panggilan aktif adalah sebanyak empat hingga lima kali sebulan, manakala tugas atas panggilan pasif, termasuk pada hujung minggu dan cuti umum, hanya dua hingga tiga kali sebulan.
Dr. Feisul menegaskan bahawa beban tugas pegawai perubatan di hospital tersebut adalah setanding dengan hospital lain dan tidak dianggap terlalu membebankan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta JKN sentiasa mengambil maklum isu-isu yang dilaporkan.
“Sesi libat urus bersama pengarah hospital, ketua jabatan dan pegawai perubatan akan diteruskan bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit,” tambah beliau.
Hospital Seri Manjung, sebuah Hospital Pakar Minor menyediakan 14 perkhidmatan kepakaran termasuk Jabatan Perubatan.
Dakwaan berkenaan dilaporkan melalui artikel bertajuk “I’m sorry we couldn’t save your loved ones – Seri Manjung Hospital Medical Officer” yang mendedahkan kesan kekurangan tenaga kerja terhadap mental dan fizikal pegawai perubatan.
Artikel itu mendakwa pegawai atas panggilan perlu bekerja dari jam 5 petang hingga 8 pagi keesokan hari, merawat sekurang-kurangnya 10 pesakit dengan setiap sesi rawatan memakan masa antara 30 minit hingga satu jam.
Isu kekurangan tenaga kerja yang didakwa telah berlarutan bertahun-tahun itu turut dikatakan menyebabkan beberapa pegawai perubatan memilih untuk berhijrah ke sektor swasta atau meninggalkan bidang perubatan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |