Berita Semasa

DBKL roboh tambahan struktur haram unit kediaman di Seputeh

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan operasi bersepadu bagi merobohkan struktur haram di lima unit kediaman yang dibina di atas tanah rizab jalan sekitar Parlimen Seputeh, semalam.

Operasi tersebut membabitkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Menurut kenyataan di Facebook pihak berkuasa tempatan itu, empat daripada lima unit kediaman berkenaan dirobohkan kerana membina struktur tambahan sehingga menutup longkang dan laluan awam.

Sementara itu, sebuah lagi rumah dikenakan tindakan kerana pengubahsuaian yang tidak mengikut pelan diluluskan serta didirikan di atas rizab jalan awam.

Selain itu, DBKL turut mengeluarkan notis kepada tujuh unit kediaman lain di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, mengarahkan pemilik membuka sendiri struktur tambahan yang dibina bagi membolehkan penyelenggaraan dijalankan.

Semua sisa struktur dilupuskan DBKL selepas operasi selesai.

Dalam operasi berasingan di Kampung Bharu, DBKL menyita 22 barangan penjaja yang menghalang pesiar kaki dan laluan awam di sekitar Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Raja Alang.

Tindakan itu diambil berdasarkan Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta UUK 3(1) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, sebagai respon terhadap aduan awam.

Antara barangan yang disita termasuk kerusi, meja plastik, kanopi, tong gas, gerai besi beroda dan pelbagai peralatan lain yang diletakkan di laluan awam.

Semua barangan tersebut dihantar ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, untuk dokumentasi dan tindakan lanjut.

DBKL menegaskan tindakan itu diambil untuk memastikan kawasan awam kekal teratur, selamat dan dapat digunakan tanpa sebarang halangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button