Berita Semasa

Agenda reformasi telah bermula, tidak pernah ditinggalkan – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan perjuangan dan agenda reformasi yang telah didukung selama ini.

Anwar berkata, agenda reformasi telah bermula dengan memperbetulkan tatakelola bagi melawan rasuah yang sistemik dan tadbir urus lemah.

“Saya mulakan dengan menghapuskan amalan rundingan terus dan pengaruh menteri dalam perolehan kerajaan, reformasi penting namun dipandang enteng pengkritik.

“Saya mendengar desakan-desakan untuk menyegerakan reformasi yang kita dambakan, namun sejarah mengajar kita untuk pintar dan cermat dalam membawa perubahan tanpa mengorbankan kestabilan negara.

“Namun ada juga suara memualkan daripada segelintir yang kononnya mendakwa Kerajaan “gagal” melaksanakan agenda reformasi dalam tempoh dua tahun ini, sedangkan mereka jugalah yang sebelum ini sanggup mencium kaki penyakau dan perasuah,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosialnya.

Terdahulu Anwar meluncurkan memoir Tan Sri Lim Kit Siang bertajuk ‘Malaysian First’, yang membukukan perjalanan berlikunya dalam memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.

Menyentuh mengenai buku tersebut, Anwar berkata, beliau menghormati kesungguhan dan kecekalan bekas pemimpin utama DAP itu dalam berdepan hiruk pikuk perjuangan bersama teman-teman lain selama puluhan tahun tanpa goyah dan gentar.

“Persahabatan kami yang terjalin sejak saya mengemudi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pastinya cukup bermakna.

“Kesungguhan saudara Kit untuk merencana reformasi lahir dari cetusan kebimbangan melihat negara ini yang kian dibelenggu dengan pelbagai masalah, terutamanya identiti politik yang merosakkan hingga mempengaruhi pemikiran rakyat untuk mengutamakan kaum dan warna kulit dalam penilaian.

“Saya memilih untuk bersama-sama dengan saudara Kit dalam jalur perjuangan ini sejak 1998. Menilai semula keputusan ini, saya yakin ia adalah keputusan yang tepat tanpa terdetik walau secebis kesal.

“Sejak mengemudi negara dua tahun lalu, Kerajaan ini masih mendukung perjuangan sama yakni memastikan Malaysia diangkat sebagai negara hebat, bersatu serta menjuarai hak setiap rakyat, tanpa meminggirkan identiti asas negara — bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu serta hak Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan Madani harus terus kukuh, bersama dan kekal mentadbir untuk merealisasikan agenda reformasi itu, kerana kegagalan bererti negara ini akan kembali di bawah pemerintahan pelampau agama dan perkauman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button