
Ujian berat Mohd Yazid: Kanser lidah tahap empat dan harapan rawatan brakiterapi
KUALA LUMPUR – Tiada siapa menduga, luka kecil akibat tergigit lidah setahun lalu menjadi permulaan kepada ujian besar buat Mohd Yazid Baharudin, 40, atau lebih mesra disapa Breffa, yang kini diuji dengan kanser lidah tahap empat.
Segalanya bermula apabila Mohd Yazid mengalami luka kecil di lidahnya setahun lalu, kemudian lama kelamaan luka itu membesar sehingga menyebabkan beliau menghadapi kesukaran untuk makan serta bercakap.
Mohd Yazid Baharudin lantas mengambil keputusan untuk berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan lanjut, yang akhirnya mengesahkan beliau menghidapi kanser lidah tahap dua.
Walau bagaimanapun, pada bulan lalu, kansernya semakin serius apabila memasuki tahap empat, sekali gus memerlukan beliau segera menjalani pembedahan supaya sel kanser tidak merebak ke bahagian lain yang dapat mengancam nyawanya.
Harapan baharu untuk melawan kanser
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menawarkan rawatan Hybrid Barchytherapy-Intensity Modulated Radiotherapy (HyBIRT) yang memberi peluang kepada Mohd Yazid untuk melawan kanser tanpa kehilangan fungsi asas percakapan.
Menurut doktor pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Muhammad Yusri Musa, rawatan itu merupakan alternatif kepada pembedahan tradisional yang mampu memusnahkan sel kanser tanpa perlu memotong lidah.
Mohd Yazid yang juga Ketua Pemasaran di Harmony Excellence Holidays Sdn. Bhd. dijadualkan menjalani rawatan itu di IPPT USM, Bandar Putra Bertam, Pulau Pinang pada 23 Disember ini.
Pengasas Jiwa Amal Malaysia, Syed Zainal Abidin Jamalullail berkata, Mohd Yazid memerlukan kos rawatan kanser sebanyak RM150,000.
“Kos itu meliputi kos rawatan semasa, kos pembedahan brakiterapi serta kos rawatan selepas pembedahan.
“Kebolehan bercakap adalah perkara paling penting dalam kerjaya Mohd Yazid yang bertugas di bahagian pemasaran selain dia juga seorang yang ceria dan suka bercakap.
“Mohd Yazid memerlukan pembedahan segera supaya sel kanser tidak merebak ke bahagian lain yang boleh mengancam nyawanya,” katanya sambil berharap orang ramai dapat membantu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban Mohd Yazid.
Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada Mohd Yazid melalui akaun Ambank Jiwa Amal Malaysia di nombor 8881-0591-3663-6 atau menghubungi talian 019-3770361.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |