![](https://i0.wp.com/malaysiatribune.news/wp-content/uploads/2024/12/81734056937_tbditembakmati.jpg?resize=590%2C400&ssl=1)
Polis tembak mati penarik beca dengan 24 kes rekod jenayah
PASIR PUTEH – Polis menembak mati seorang penarik beca yang mempunyai 24 rekod jenayah semasa kejadian berbalas tembakan di Jalan Jeram Pasu di sini pukul 5.30 pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditembak selepas bertindak agresif melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
Katanya, suspek yang mempunyai 17 rekod jenayah dan tujuh kes berkaitan dadah itu merupakan antara individu paling dikehendaki di negeri itu.
Menurut Mohd Yusoff, suspek dikesan selepas bertindak melarikan diri dari polis semasa operasi cegah jenayah yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
“Polis mengejar suspek dari Melor namun lelaki itu bertindak memecut kenderaan dan diekori sehingga ke lokasi kejadian di Jalan Jeram Besu.
“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan keluar dari tempat duduk pemandu dan terus menembak ke arah anggota polis,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Mohd Yusoff berkata, dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan dan suspek maut di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan dilakukan dalam kereta suspek menemui sepucuk pistol semi auto, pistol tiruan, sebilah parang dan sebungkus tembakau yang dipercayai untuk diseludup masuk ke dalam penjara,” katanya.
Beliau berkata, mayat suspek dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk bedah siasat.
“Pada masa sama, pihak polis juga akan melakukan siasatan lanjut jika ada suspek lain terbabit dalam kes berkenaan,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune