Kompleks Tahfiz Al-quran dan Sukan Sofiuddin raih penghargaan tertinggi JAIS
SHAH ALAM – Kompleks Tahfiz Al-Quran dan Sukan Sofiuddin (KOMTAS) sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai institusi tahfiz sukan unggul apabila menerima dua penghargaan dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan dan Pelancaran 3K dan Amal Khair Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Tahun 2024.
Majlis yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini menyaksikan KOMTAS dianugerahkan sijil Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum Tahun 2024.
Lebih membanggakan, seorang pelajarnya, Muhammad Zakir Aidil Mohamad Razi, turut menerima Anugerah Murid Cemerlang Kokurikulum Tahun 2024 atas pencapaiannya dalam sukan badminton kategori lelaki.
Mudir Akademi Tahfiz Sukan KOMTAS, Mohd Sapidin Amran, mengungkapkan rasa syukur atas pencapaian ini dan menyifatkannya sebagai hasil usaha bersama antara pelajar, guru, jurulatih, serta sokongan padu ibu bapa dan komuniti.
“Pengiktirafan ini adalah bukti usaha berterusan KOMTAS dalam melahirkan generasi Quranik yang kompetitif dan serba boleh. Ia juga mendorong kami untuk terus mengorak langkah ke hadapan dengan membina kerjasama lebih luas, termasuk dengan badan korporat dan institusi sukan,” ujar beliau.
Menurut Eksekutif Pembangunan Akademi Tahfiz Sukan KOMTAS, Muhamad Fahdli Harun (Coach Fahd), penghargaan ini membuka mata masyarakat terhadap potensi institusi tahfiz dalam menyumbang kepada pelbagai sektor, termasuk sukan.
“Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen semua pihak. ATS KOMTAS berazam untuk terus memacu kecemerlangan pelajar melalui pendekatan holistik, menggabungkan elemen akademik, kokurikulum, dan pembangunan sahsiah,” katanya.
Pengiktirafan ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti ATS KOMTAS, tetapi juga menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan. Sebagai institusi tahfiz sukan pertama di Malaysia, KOMTAS terus mempelopori pendekatan inovatif dalam pendidikan tahfiz, memartabatkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga sukan sehingga ke peringkat kebangsaan.
ATS KOMTAS turut membuka jalinan kerjasama semua pihak, dan turut meletakkan harapan kerjasama bersama FAM dan KBS sebagai usaha jangka masa panjang.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune