Berita SemasaPM X

Kerajaan umum kadar subsidi FLYsiswa naik kepada RM400 bermula Januari 2025

SHAH ALAM – Kadar bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan menerusi FLYsiswa dinaikkan sebanyak RM100 kepada RM400 seorang, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Karnival Pengangkutan Siswa Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, semalam.

Anwar berkata, program itu bertujuan memsubsidi sebahagian kos penerbangan mahasiswa yang ingin pulang ke kampung halaman di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan agar kosnya tidak membebankan.

“Saya mengumumkan penerusan inisiatif ini, saya juga mengumumkan kenaikan bantuan subsidi ini daripada RM300 kepada RM400 mulai bermula 1 Januari 2025.

“Semoga anak-anak mahasiswa dapat manfaatkannya untuk keluarga dan yang tersayang sambil terus memusatkan tumpuan kepada penguasaan bidang dan disiplin yang diceburi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau.

Di majlis bersama ribuan mahasiswa itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau menekankan bahawa tanggungjawab menegakkan kebenaran atas dasar fakta mesti dijadikan budaya oleh anak-anak mahasiswa.

Ujar beliau, dalam menyikapi pelbagai isu semasa, mahasiswa perlu berhati-hati dengan naratif yang mengarah kepada kehancuran dan kebinasaan sistem tata masyarakat.

“Sebagai ‘conscience of the majority’ atau jurubicara rakyat, anak-anak muda terutamanya di kalangan mahasiswa mesti lebih tangkas menegak fakta dan tanam serta benam naratif perkauman yang merosakkan,” katanya.

Tambah Anwar, wujud segelintir pihak yang sengaja menanam kebencian atas dasar wilayah, kenegerian dan sebagainya bagi kepentingan peribadi.

“Mari bersama kita pupuk budaya kecintaan antara masyarakat, perkukuh kemajmukan sebagai tiang kekuatan, dan semai rasa kasih kepada yang miskin dan melarat,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button