AgamaBerita Semasa

Jenazah umat Islam perlu diurus segera

PENGURUSAN jenazah dalam Islam merupakan salah satu kewajipan yang perlu disegerakan sebagai tanda penghormatan kepada si mati dan mematuhi ajaran syariat.

Islam menekankan agar urusan jenazah dilakukan dengan segera, bermula daripada memandikan, mengkafankan, solat jenazah dan mengebumikan tanpa melengah-lengahkannya.

Proses memandi dan mengkafankan jenazah perlu dilaksanakan sejurus mereka meninggal dunia tanpa perlu ditangguhkan.

Rasulullah SAW sendiri bersabda bahawa jenazah yang baik harus disegerakan urusannya kerana ia adalah suatu kebaikan yang perlu dipercepatkan.

“Segerakanlah pengurusan jenazah, kerana jika ia adalah jenazah yang baik, maka ia adalah suatu kebaikan yang kamu segerakan untuknya. Dan jika ia adalah selain daripada itu, maka ia adalah suatu kejahatan yang kamu lepaskan dari tengkuk-tengkuk kamu.” – (Hadis Riwayat Bukhari)

Namun, baru-baru ini, tular kes melibatkan seorang bayi, Muhammad Adham Mikhail, yang jenazahnya tertahan selama 16 hari di sebuah hospital swasta kerana keluarga tidak mampu melunaskan bil hospital.

Insiden ini telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat tentang nilai kemanusiaan dan kepentingan mematuhi ajaran agama dalam pengurusan jenazah.

Situasi ini bukan sahaja menyentuh hati umat Islam tetapi juga mengingatkan kita tentang tanggungjawab semua pihak dalam memastikan syariat Islam dihormati dan dijunjung, terutama dalam urusan yang melibatkan insan yang telah kembali ke rahmatullah.

Ustaz Azhar Idrus menegaskan makruh hukumnya jika menangguhkan proses pengurusan jenazah tanpa sebab yang kukuh.

Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus pernah ditanya tentang persoalan berapa lama jenazah yang sudah dimandi dan dikafankan boleh disimpan sebelum dikebumikan.

Melalui satu rakaman video di YouTube, beliau menjawab jika jenazah itu tidak ada sebarang tujuan, makruh hukumnya jika kita melambatkan proses pengebumian tersebut.

“Tetapi kalau sudah sampai berubah bau jenazah itu, maka hukumnya jatuh haram dan berdosa jika terus melengahkan proses dihantar ke kubur.

“Nabi SAW bersabda agar kita segerakan pengurusan jenazah. Makna segera ini ada dua. Satu makna khusus dan kedua makna umum.

“Makna khusus iaitu selepas sembahyang terus diusung ke kubur. Jangan tunggu lagi. Anak atau sesiapa yang nak tengok, terus pergi ke kubur. Makna yang umum pula bermaksud segerakan mandi, segerakan kafan, segerakan sembahyang dan segerakan tanam (kebumi),” jelas beliau.

Menyegerakan proses pengebumian jenazah sangat dituntut dalam Islam kerana mempercepatkan roh mereka menuju rahmat Allah.

Namun, tambah Ustaz Azhar, jika sudah siap sembahyang, kemudian waris atau anaknya kata jangan bawa lagi ke kubur kerana dia sudah hendak sampai dalam tempoh setengah jam, maka boleh ditunggu.

“Tetapi kalau anak masih jauh lagi, anak tak benarkan kebumi dan perjalanannya ambil masa lagi tujuh jam untuk dia sampai, maka kita orang yang cerdik kena ikut hukum fekah.

“Kalau penduduk kampung benarkan permintaan anak untuk tunggu dalam tempoh yang lama daripada jenazah dikebumikan, maka semua penduduk kampung akan berdosa. Jangan main-main dengan hukum.

“Hak mayat mesti didahulukan, bukan hak anak atau warisnya. Ulama kata boleh tunggu sekejap. Tempoh itu lebih kurang satu jam,” jelas beliau.

Semoga pengajaran daripada kes ini menjadi iktibar untuk kita mengutamakan prinsip agama dan nilai kemanusiaan dalam setiap tindakan.

Setiap manusia pasti akan mati dan berpindah ke alam barzakh untuk diperhitung segala amalan ketika hayatnya di dunia ini. 

Ingatlah bahawa mati itu pasti. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 223 yang bermaksud:

“… dan bagi setiap umat ada ajalnya; maka apabila telah datang ajal mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) mendahulukannya.”

Ayat ini menunjukkan bahawa setiap manusia telah ditetapkan ajalnya, dan apabila seseorang meninggal dunia, adalah penting untuk segera menyempurnakan pengurusan jenazahnya.

Ia sebagai tanda penghormatan kepada si mati sekaligus mempercepatkan rohnya menuju rahmat Allah SWT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button