Ismail Sabri agih bantuan Yayasan Keluarga Malaysia di Sarawak
KUCHING – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) terus komited dalam usaha membantu anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa dan insan tersayang akibat pandemik Covid-19.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menziarah dua keluarga di sini sempena ketibaan sambutan Hari Natal bagi menyerahkan bantuan yayasan tersebut.
Antara keluarga yang diziarahi ialah Tina Bong, 50, yang kehilangan suaminya, Sim Siang Yeong, 53, pada Oktober 2021 akibat wabak maut itu.
Tina kini tinggal bersama dua anaknya, Ethan Sim Yong Ching, 18, dan Evan Sim Yong Ching, 15, di rumah mentuanya.
Selain itu, Tina turut menjaga kedua-dua mentuanya yang uzur, masing-masing berusia 87 dan 85 tahun.
Bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu, Tina menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah dengan mengambil tempahan makanan.
Dalam kunjungan tersebut, Ismail Sabri menyampaikan bantuan wang tunai kepada Tina sekeluarga sebagai persediaan menyambut Hari Natal dengan lebih bermakna.
“Sebagai tambahan, 20 anak yatim dan yatim piatu yang beragama Kristian di bawah naungan YKM turut menerima sumbangan RM300 setiap seorang melalui akaun bank masing-masing bermula esok (hari ini).
“Langkah ini mencerminkan komitmen YKM dalam memastikan anak-anak ini dapat merayakan perayaan mengikut kepercayaan dan budaya masing-masing dengan penuh kegembiraan,” katanya ketika menziarahi keluarga tersebut di Taman BDC.
Beliau turut memaklumkan bahawa sejak tahun 2022, YKM telah menyalurkan Bantuan Kasih kepada 977 penerima, termasuk 47 penerima daripada 21 keluarga di Sarawak.
Bantuan tersebut merangkumi RM2,000 setahun untuk kanak-kanak di bawah 16 tahun dan RM2,500 setahun untuk remaja sehingga tamat pengajian di peringkat ijazah pertama.
Sepanjang tahun ini sahaja, YKM telah memperuntukkan RM5 juta untuk pelbagai inisiatif, termasuk Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading, Hadiah Kecemerlangan Akademik, Sumbangan Perayaan, Bantuan Bencana serta pengurusan.
“Jumlah ini dijangka meningkat tahun depan, memandangkan kami telah menerima 890 permohonan baharu yang kini dalam proses semakan dan tapisan. Pemohon yang layak akan dimaklumkan melalui emel atau WhatsApp dalam masa terdekat,” tambahnya.
Sebelum itu, beliau turut menziarahi keluarga Rimanoraishahida Sarbini, 37, di Taman Malihah di sini.
Rimanoraishahida kehilangan suaminya, Mohamad Nuryasri Suut, 40, pada 14 September 2021 akibat Covid-19.
Sebagai pengasuh kanak-kanak dengan pendapatan RM700 sebulan, Rimanoraishahida kini menyara tiga anaknya, Muhammad Iman Darius, 16; Nur Iman Amani, 14; dan Nur Iman Aleeya, 13.
“Hasil lawatan dan penilaian, YKM bersetuju untuk memasukkan ketiga-tiga anaknya sebagai penerima bantuan yayasan mulai tahun hadapan.
“Saya juga menyerahkan surat kelulusan permohonan YKM kepada beliau sebagai tanda komitmen kami,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune