Berita Semasa

Tiga bekas menteri 2018 tepis dakwaan Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Tiga bekas menteri kerajaan pada 2018 hari ini tampil menepis dakwaan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keputusan tidak meneruskan usaha semakan terhadap Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ketiga-tiga bekas menteri tersebut, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Anthony Loke dalam satu kenyataan bersama berkata, keputusan itu dibuat Dr Mahathir sendiri pada 21 Mei 2018 tanpa sebarang perbincangan dengan Jemaah Menteri ketika itu.

“Ingin kami tegaskan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran telah pun dibuat pada 21 Mei 2018 oleh Tun Dr Mahathir sendiri secara bertulis kepada Peguam Cara Negara tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri dan juga turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum mesyuarat Kabinet pertama diadakan.

“Selang dua hari kemudian, setelah keputusan dibuat, barulah Tun Dr Mahathir memaklumkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu turut memberitahu, sewaktu pertemuan dengan Kabinet, perkara itu dianggap sebagai pemakluman dan agenda ‘hal-hal lain’ dan bukan bertujuan untuk perbincangan mendaparkan keputusan.

“Oleh yang demikian, tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan telah pun hilang apabila ia telah dibuat secara bertulis oleh Tun Dr Mahathir.

“Sebagai negarawan, kami berpandangan Tun Dr Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan ini dan bukannya memilih untuk meletakkan di bahu mereka yang tidak terlibat,” tegas kenyataan itu.

Dalam satu sidang akhbar khas kelmarin, Dr Mahathir mendakwa keputusan berhubung Batu Puteh dibuat secara bersama oleh Kabinet ketika itu.

Bekas perdana menteri itu turut mendakwa, hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengesyorkan siasatan jenayah terhadapnya adalah bersifat politik untuk memusnahkan imejnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button