
Saya tiada dalam senarai Kabinet Tun M – Saifuddin
PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan beliau masih belum dilantik sebagai salah seorang menteri Kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu keputusan berkaitan isu Batu Puteh diputuskan pada tahun 2018.
Sehubungan itu Saifuddin menafikan bahawa keputusan yang dicapai ketika itu adalah persetujuan bersama ahli Jemaah Menteri ketika itu.
Katanya, ketika waktu keputusan itu diambil, beliau belum dilantik sebagai anggota Kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Malah, beliau mengesahkan dirinya tergolong dalam kumpulan menteri ketiga yang hanya dilantik selepas keputusan itu dibuat.
“Saya tidak berada dalam senarai Kabinet Tun Dr. Mahathir pada 2018 ketika keputusan berkaitan Batu Puteh diambil.
“Oleh itu, cubaan beliau (Tun Mahathir) untuk mengaitkan semua individu dalam Kabinet ketika itu adalah tidak wajar,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin turut mengkritik tindakan Dr. Mahathir yang disifatkannya sebagai usaha untuk ‘mengheret orang lain lemas bersama’ tanpa merujuk kepada fakta yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Bila orang lemas, kayu buruk pun dia capai. Begitulah keadaannya,” ujar Saifuddin, merujuk kepada kenyataan Dr. Mahathir yang mendakwa keputusan tersebut dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri.
RCI ditubuhkan untuk mengkaji pengendalian perkara berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan, selepas isu tersebut mencetuskan perdebatan.
Namun, Saifuddin menekankan pentingnya semua pihak merujuk fakta sebenar yang telah dibentangkan oleh suruhanjaya tersebut sebelum membuat tuduhan atau kenyataan tidak berasas.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |