Jenayah & Mahkamah

‘Saya sentiasa berdoa supaya kekal lepas, bebas dari tuduhan’ – Ahmad Zahid

Mahkamah Rayuan kekal keputusan lepas, bebas Ahmad Zahid dari 40 tuduhan rasuah

PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sentiasa berdoa supaya kekal dilepas dan dibebaskan daripada daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Dan hari ini, keputusan Mahkamah Rayuan di sini memihak kepadanya setelah Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Saya sentiasa berdoa begitu (lepas dan bebas) dan saya tidak pernah putus-putus untuk untuk memohon kepada Allah,” kata Ahmad Zahid kepada pemberita di pekarangan mahkamah, hari ini.

Beliau pada masa yang sama turut berterima kasih kepada barisan peguamnya yang bertungkus lumus dalam kes ini.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Poh Teik yang mengetuai barisan pembelaan Ahmad Zahid berkata, beliau juga turut bersyukur dengan keputusan lepas dan bebas yang diputuskan Mahkamah Rayuan hari ini.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran dan kami sudah bersedia (berhujah terhadap rayuan pendakwaan). Keputusan hari ini (lepas dan bebas) adalah kejutan yang baik,” katanya.

Pada perbicaraan hari ini, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memaklumkam bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik semua rayuan terhadap kes ini.

“Setelah AGC menarik balik rayuan-rayuan terhadap responden, dengan ini mahkamah membatalkan rayuan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid, yang kini Timbalan Perdana Menteri, daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini, beliau menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Beliau juga memohon dibicarakan terhadap 33 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri atas tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SGD$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan USD$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumah sama antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button