Pejabat AI Kebangsaan perkukuh ekosistem digital, pacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi – PM
KUALA LUMPUR – Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) memiliki potensi untuk memperkuat ekosistem digital, seiring dengan langkah Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Majlis Peluncuran NAIO di ibu negara hari ini, Perdana Menteri berkata, ekonomi digital berpotensi menyumbang 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang tahun depan, dengan anggaran sumbangan mencecah RM120 bilion menjelang 2030.
“Sekiranya kita mengekalkan prestasi ini, ekonomi digital mungkin menyumbang 25 peratus daripada KDNK negara.
“Penubuhan pejabat ini didorong oleh keperluan untuk menangani isu literasi digital, bukan sahaja dalam kalangan kakitangan kerajaan dan ahli politik, tetapi dalam membawa perubahan kepada pendidikan untuk berjuta-juta kanak-kanak.
“Pejabat AI akan melihat penyelarasan usaha dalam penyelidikan dan pelaksanaan,” katanya di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut menyaksikan pembentangan syarikat antarabangsa termasuk Toshiba, Google, Microsoft mengenai pembabitan mereka dalam memacu agenda AI negara.
Hadir sama, Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Pengangkutan, Athony Loke; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penyertaan syarikat-syarikat gergasi luar negara, termasuk dari Amerika Syarikat (AS), dalam sektor kecerdasan buatan (AI) mencerminkan pendekatan Malaysia yang mengamalkan hubungan perdagangan mesra dengan semua negara.
“Banyak penyertaan yang besar dari Amerika Syarikat kerana masih mengetuai bidang penguasaan teknologi maklumat dan AI. Kita juga dapat penyertaan banyak dari Eropah, dari negara China dengan Huawei.
“Hal ini menunjukkan bahawa sikap kita sebagai negara yang bebas jaring hubungan dengan semua negara.” ujar Perdana Menteri lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune