Kibar bendera China : Razman mohon maaf pada Kor Ming
IPOH – Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, secara membuat permohonan maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, atas tuduhan mengaitkan Pengerusi DAP Perak itu dengan insiden pengibaran bendera negara China di Teluk Intan pada Oktober lalu.
Razman mengakui kesilapannya dalam mengaitkan dua program berbeza yang dirasmikan oleh Kor Ming pada 13 September dan 24 Oktober.
Beliau mengakui bahawa kenyataannya tidak berasas dan berdasarkan penelitian lanjut, Kor Ming tidak hadir dalam program perarakan pada 24 Oktober yang mencetuskan kontroversi tersebut.
“Saya mengaku bahawa dakwaan-dakwaan ini tidak benar dan langsung tidak berasas.
“Saya meminta maaf tanpa syarat kepada YB Tuan Nga Kor Ming atas segala kesusahan dan rasa malu yang timbul akibat dakwaan ini,” kata Razman dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Beliau turut menyatakan bahawa kenyataan media tersebut telah diturunkan dari platform media sosialnya dan berjanji tidak akan mengulangi dakwaan yang serupa pada masa hadapan.
Kontroversi ini bermula apabila video insiden pengibaran bendera negara China dalam program sambutan Guan Dong Sedunia di Teluk Intan menjadi viral, sehingga laporan polis dibuat.
Kor Ming sebelum ini menyatakan akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap dakwaan Razman yang mengaitkannya dengan program tersebut.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune